Gara-gara gagal menuntut kembali wang pelaburan, tiga lelaki warganegara China bertindak meletakkan dua butir bom buatan sendiri di rumah seorang pengarah syarikat pelaburan di Bukit Gambir, George Town, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Isnin itu, suspek yang berang apabila mangsa dan bapanya dikatakan telah menipu wang pelaburan bertindak memecah masuk rumah dan mengacukan sebilah pisau ke arah perut mangsa.

Che Zaimani berkata, suspek telah bercakap dalam bahasa Mandarin dan memaksa mangsa yang juga seorang pengarah urusan sebuah hotel memindahkan wang ke akaun mereka selain mahu mencari bapa mangsa.

"Tiga lelaki itu terus mendekati mangsa dan seorang daripadanya bertindak mengacukan sebilah pisau di bahagian perut sebelah kiri pengarah tersebut sebelum rakan suspek bercakap dalam bahasa Mandarin "kami hanya mahukan wang kami semula"," katanya di sini hari ini.

Suspek dipercayai  telah meletakkan dua butir bom jenis 'dynamite' di belakang pintu masuk rumah mangsa. - Foto PDRM

Menurut Che Zaimani, tiga suspek itu memberitahu lelaki itu bahawa ayahnya telah menipu ramai pelabur.

Mangsa kemudiannya memaklumkan kepada suspek mereka harus mencari bapanya kerana dia tiada kena mengena dengan syarikat pelaburan terbabit.

Bagaimanapun, tiga lelaki itu tidak mempedulikan penjelasan mangsa sebaliknya mengugut mempunyai maklumat lengkap berkaitan lelaki dan keluarganya termasuk isteri,ibu bapa serta datuk mangsa.

Suspek yang tetap mahukan wang mereka semula telah meminta mangsa untuk mengakses aplikasi pelaburan tersebut namun gagal berbuat demikian.

Ekoran itu, suspek meminta lelaki itu memindahkan semua wang dalam akaunnya kepada suspek namun mangsa memberitahu transaksi sebanyak RM10,000 sahaja dibolehkan dan dia perlu ke kaunter bank untuk membuat pengeluaran.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa menghubungi ayahnya untuk meminta wang pelaburan mereka di kembalikan semula namun panggilan tersebut tidak dijawab.

pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Kontijen Polis Pulau Pinang mendapati terdapat dua objek seperti  IED jenis dynamite namun di percayai bom palsu buatan sendiri dalam rumah itu. - Foto PDRM

Mangsa yang berjaya menghubungi pemandunya sempat meminta pertolongan dan pemandu berkenaan bergegas ke rumah majikannya.

Suspek yang terkejut dengan kehadiran pemandu berkenaan kemudiannya bertindak melarikan diri dari rumah itu dengan membawa sebuah beg namun berjaya dihalang mangsa dan pemandu tersebut.

"Tiga lelaki itu berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia warna biru namun begnya tertinggal dan dipercayai mereka juga telah meletakkan dua butir bom jenis 'dynamite' di belakang pintu masuk rumah mangsa," katanya.

Sementara itu, Che Zaimani berkata pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Kontijen Polis Pulau Pinang mendapati terdapat dua objek seperti IED jenis dynamite namun di percayai bom palsu buatan sendiri dalam rumah itu.

Polis menggunakan robotik untuk mengeluarkan sebelum ia di musnahkan, tiada kemalangan jiwa atau kerosakkan harta benda.

Gara-gara gagal menuntut kembali wang pelaburan, tiga lelaki warganegara China bertindak meletakkan dua butir bom buatan sendiri di rumah seorang pengarah syarikat pelaburan di Bukit Gambir. - Foto PDRM

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan milik tiga suspek dalam beg mereka antaranya sebotol cecair disyaki petrol, silinder kertas disyaki berisi simen berserta wayar, besi diubah suai menjadi suiz, bateri, simen, pisau dan pakaian.

Polis kini sedang giat mengesan tiga lelaki itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup CCTV dirumah berkenaan.

Kes itu di siasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.