Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih pada 2 Mac ini, warga Semenyih mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan mengenai isu-isu yang dihadapi oleh mereka, terutamanya bagi meringankan beban golongan B40 dan M40.

Antara isu yang diketengahkan adalah mengenai kualiti pengangkutan awam, yang dikatakan perlu dipertingkatkan dan tidak cukup bagi menampung penambahan penduduk yang semakin ramai di bandar itu.

Pada Selasa, wartawan Astro AWANI Firdaus Azil cuba merasai pengalaman yang dihadapi oleh warga Semenyih yang perlu berulang alik ke Kuala Lumpur hanya dengan menggunakan pengangkutan awam.

Secara keseluruhan, ia mengambil masa 2 jam.




Antara masalah terbesar yang ditempuhi adalah mengenai bas yang tidak membawa penumpang dari kawasan Semenyih ke stesyen MRT Kajang.

Maklumlah, MRT hanya menyediakan bas pengantara dalam radius 3km dari stesen MRT.

Di samping itu, warga Semenyih turut memahami bahawa tempoh perjalanan ke tempat kerja memang mengambil masa yang amat lama.

Menurut keluhan mereka di Twitter, mereka berharap isu ini dapat diketengahkan oleh calon-calon PRK yang akan datang.