Berbaki dua hari lagi sebelum perayaan Deepavali, persiapan untuk menyambut pesta cahaya itu di sini disifatkan beberapa peniaga agak perlahan berbanding tahun lepas.

Peniaga kain sari dan peralatan sembahyang S. Nitin, 62, berkata tahun ini beliau menjangkakan jualannya merosot kira-kira 15 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Tahun lepas jualan sempena Deepavali sahaja boleh mencecah RM20,000 namun sekarang nak dapat RM10,000 pun agak susah. Saya fikir orang ramai agak berpada-pada dalam berbelanja dan ada juga yang mengurangkan bajet untuk menyambut Deepavali.

"Jika tahun-tahun sudah, pada masa sekarang ini saya sangat sibuk sampai tak ada masa nak berbual...tapi tahun ini jualan agak perlahan dan saya masih ada masa nak berbual," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nitin yang mewarisi perniagaan bapanya berkata baju punjabi, sari serta karpet merupakan barangan yang laris setiap kali musim perayaan namun tahun ini agak sukar meskipun terpaksa menjual baju punjabi kanak-kanak serendah RM5 di bawah harga pasaran.

"Sekarang ini cabaran ekonomi agak besar berbanding sebelum ini, orang ramai kini berbelanja dengan berhemah kerana mengurangkan bajet mereka," katanya.

Bagi S. Gunasegaran, 59, yang mengusahakan perniagaan kuih laddu selama 35 tahun bersama bapanya berkata penjualan pada tahun ini agak kurang memberangsangkan meskipun ia antara kuih yang dicari setiap kali Deepavali.

"Nak capai satu kilogram penjualan laddu pun susah sekarang ini...saya tidak jual mahal pun sebiji baru 80 sen, malah ada yang jual lebih lagi daripada harga itu. Saya tidak pasti kenapa orang tidak berbelanja," katanya.

Beliau yang pernah membekalkan laddu untuk pasaran di Sepang, Selangor serta Lukut dan Port Dickson sebelum ini berkata tahun ini bekalan ke tiga kawasan berkenaan terpaksa dihentikan memandangkan tiada lagi permintaan.

Sementara itu, S. Thurkadevi, 28, berkata beliau dan keluarga hanya membuat persiapan ala kadar sahaja pada Deepavali kali ini.

"Inilah hari pertama saya melakukan persiapan walaupun Deepavali dah semakin hampir. Persiapan pun lebih kepada perhiasan sahaja dan kuih-muih sedikit cukuplah bagi kami sekeluarga," katanya. -- BERNAMA