Tutup

Berbaki tiga tahun, tiada jaminan pengganti akan lebih baik - Tun Mahathir

Berbaki tiga tahun, tiada jaminan pengganti akan lebih baik - Tun Mahathir
Dr Mahathir Mohamad akui bahawa beliau mempunyai baki tiga tahun lagi untuk mencapai pelbagai matlamat Malaysia. -Foto PMO/Nurhilmy Basiron
NEW YORK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akui bahawa beliau mempunyai baki tiga tahun lagi untuk mencapai pelbagai matlamat Malaysia.

Katanya, beliau akan melepaskan jawatan sebelum pilihan raya umum akan datang bagi memberi laluan kepada penggantinya.

“Saya berjanji untuk mengundur diri sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain.

“Saya mungkin ada sekitar tiga tahun mungkin. Dalam tempoh tiga tahun ini, saya perlu mencapai kejayaan dalam pelbagai perkara,” katanya pada sesi bersama Majlis Hubungan Luar (CFR) di sini pada Khamis.
Dialog bersama anggota CFR itu adalah program sampingan beliau dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Amerika Syarikat seiring Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-74.


Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata tiada sebarang jaminan semua usaha yang dilakukannya ketika ini akan mencapai kejayaan seperti diharapkan.
Jelasnya, sewaktu melepaskan jawatan pada 2003, beliau meninggalkan kerusi Perdana Menteri Keempat dengan kedudukan ekonomi, politik dan pentadbiran yang baik.

Namun, ia berubah apabila penggantinya mempunyai idea yang berbeza.

“Malangnya, apabila anda mempunyai pemimpin yang berpandangan lain, perkara buruk boleh berlaku. Sekarang saya tidak boleh memberi jaminan sama ada akan melakukan yang lebih baik atau yang tidak baik.

“Namun kita akan pastikan segalanya teratur, anggota pentadbiran telah dibersihkan dan melantik mereka yang lebih jujur, tapi kurang latihan, namun mampu untuk melakukan tugas,” katanya.

Jelasnya, beliau telah berjaya membetulkan situasi kewangan negara, mengurangkan hutang, dan merancang untuk menjadikan hutang sedia ada kepada peluang masa hadapan.