Bagi memulih dan mengekalkan daya saing ekonomi pasca pandemik COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan rakyat supaya "berbelanjalah untuk Malaysia".

Beliau berkata pengguna perlu memastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti.

"Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi akan dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat," katanya semasa melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Suria KLCC di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata pandemik COVID-19 merupakan detik sukar dan mencabar buat negara, yang turut menyaksikan hampir semua negara mengambil langkah 'berkurung' dan terpaksa menutup sektor ekonomi masing-masing, satu fenomena dikenali sebagai "The Great Lockdown".

Bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac bagi mengehadkan pergerakan dan menutup sempadan negara, diikuti penguatkuasaan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei yang menyaksikan pembukaan sebahagian besar sektor ekonomi.

Malaysia kini menguatkuasakan PKP Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun sebagai strategi keluar dan beransur-ansur memberi kelonggaran lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi.

Muhyiddin berkata kajian soal selidik Jabatan Perangkaan Malaysia ke atas firma dan syarikat perniagaan semasa tempoh PKP menunjukkan hampir 65.5 peratus syarikat menghadapi cabaran ketiadaan pelanggan manakala 45 peratus syarikat akan mengambil tempoh lebih enam bulan untuk kembali pulih.

Pada masa ini, katanya sektor-sektor ekonomi utama negara telah beroperasi pada tahap sedia kala dengan 90.1 peratus atau 13.7 juta rakyat Malaysia telah kembali bekerja.

Justeru, katanya Kempen Beli Barangan Malaysia diharap menjadi satu titik permulaan terhadap usaha bersama antara kerajaan, industri dan juga rakyat dalam memastikan kejayaan memulihkan ekonomi.

Muhyiddin berkata kempen kali ini membawa semangat sama seperti ketika inisiatif itu dilancarkan pada 1984 dalam memperkukuh perbelanjaan domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia.

Beliau berkata kempen tersebut juga disasar dapat mempertingkatkan lagi keupayaan syarikat-syarikat tempatan khususnya memperkukuhkan aliran tunai dan daya saing.

Bagi memastikan kempen itu dapat memberi impak yang besar kepada sektor peruncitan tempatan, perdana menteri berkata kerajaan melalui PENJANA telah memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi menjayakan kempen yang mengutamakan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan.

"Ini akan menggalakkan penandaan barangan buatan tempatan di rangkaian pasar raya dan mewujudkan saluran khusus untuk produk-produk Malaysia di platform e-dagang utama," katanya.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata kempen itu sewajarnya tidak hanya terhad pada sektor pembuatan tetapi meliputi tawaran perkhidmatan seperti pelancongan, kesihatan dan logistik.

"Meskipun sempadan negara masih lagi tidak dibenarkan dibuka, kita yakin sepenuhnya pelancongan domestik akan menyumbangkan kepada fasa pemulihan ekonomi negara ini," katanya.

Muhyiddin berkata berdasarkan statistik pelancongan domestik 2019, seramai 239.1 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan sebanyak RM103.2 bilion telah direkodkan, dengan peningkatan masing-masing sebanyak 8.1 peratus dan 11.5 peratus berbanding 2018.

-- BERNAMA