Hanya kerana 'sekuntum bunga', lima lelaki ditahan polis kerana disyaki merusuh dan memukul seorang remaja di Sri Perdana, Lahad Datu.

Kesemua mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi di depan sebuah rumah di Taman Aman 3, Lahad Datu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek bertindak memukul remaja itu kerana didakwa menjalinkan hubungan dengan teman wanita salah daripada mereka.

Katanya, sebaik sahaja dipukul di belakang sebuah kedai di Sri Perdana pada jam 2.45 petang Ahad, mangsa segera membuat laporan polis.

"Dia (mangsa) mengalami kecederaan di kepala, mulut dan belakang badan. Siasatan awal mendapati, punca kejadian kerana perebutan teman wanita," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Difahamkan, gadis yang menjadi rebutan itu berusia 19 tahun.

Nasri memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.