Tutup

'Berhabis' jadi 'Raja Sehari' antara punca perceraian pasangan muda - Hannah Yeoh

'Berhabis' jadi 'Raja Sehari' antara punca perceraian pasangan muda - Hannah Yeoh
Jelas beliau, inisiatif itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat dengan membabitkan pengukuhan bab kewangan dalam kursus pra perkahwinan bagi pasangan bukan Islam dan Islam. Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ramai pasangan membelanjakan wang simpanan mereka untuk membuat persiapan menjadi ‘Raja Sehari’ tanpa menyedari cabaran kewangan sebenar adalah selepas mendirikan rumah tangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata ia sekaligus menyebabkan pasangan tersebut terjebak dalam kancah hutang, yang seterusnya menjadi punca kepada perceraian.
Justeru itu ujarnya, kementerian sedang bekerjasama dengan Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mengukuhkan pengurusan kewangan pasangan yang bakal berkahwin.

“Sebenarnya pasangan muda yang baru berkahwin memerlukan banyak masa untuk mempelajari hal-hal kewangan sejurus selepas mereka memasuki alam perkahwinan.
“Mereka cenderung membelanjakan wang mereka untuk persiapan perkahwinan sehinggakan mereka terbeban dengan hutang. Itu yang kami cuba elakkan, sebab itu kami (kementerian) ingin membantu mereka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Wanita dan Pelaburan anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Bursa Malaysia, di sini, hari ini.


Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen dan Presiden NCWO, Profesor Emerita Tan Sri Datuk Seri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Jelas beliau, inisiatif itu akan dilancarkan dalam tempoh terdekat membabitkan pengukuhan bab kewangan dalam kursus pra perkahwinan bagi pasangan bukan Islam dan Islam.

“Apa yang saya boleh katakan ia melibatkan kursus pra perkahwinan bukan Islam kerana (bagi pasangan) Islam ia di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Tetapi untuk bukan Islam, LPKKN adalah agensi yang melaksanakan program kursus pra perkahwinan.

“Kita mahu lihat bagaimana kita (kementerian) boleh memperkasakan bab kewangan kerana pengurusan kewangan ini sangat memberi tekanan selepas mereka berkahwin,” katanya.

Untuk rekod sebanyak 2,932 kes perceraian di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan direkodkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 hingga tahun 2017.

Bagi bukan Islam pula, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

VIDEO BERKAITAN:





Tag: Bursa Malaysia, Islam, wanita, perkahwinan, Pasangan baru kahwin, Pasangan kahwin hutang, Perceraian, Kekeluargaan, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.