Masih ramai yang tidak menyedari bahawa disebalik keindahan lautan yang terbentang luas, janganlah terlalu leka sehingga mengabaikan langkah-langkah keselamatan sewaktu ingin bermandi-manda.

Pakar oseanografi, Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir memaklumkan kebiasaannya orang yang pandai berenang pun akan merasa panik apabila berlakunya ‘rip current’ (arus karau).

Arus karau merupakan perangkap maut yang boleh menyebabkan mati lemas dan kebanyakan mereka yang pandai berenang juga masih boleh terdedah dengan risiko petanda tersebut.

Apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan ‘rip current’?

Pastinya perasaan panik itu akan timbul sekiranya kita merasakan kita bakal berhadapan dengan situasi bahaya. Akibat daripada panik itu pula , ia akan memaksa diri untuk melawan arus tersebut sehingga menyebabkan seseorang itu penat dan kemudian lemas.

Berdasarkan penjelasan Mohd Fadzil, apa yang perlu dilakukan jika terjadinya ‘rip current’ ialah hanya perlu tenangkan diri.

“Biar arus itu bawa kita jauh, kemudian ia (ombak) akan tenang balik. Setelah itu kita boleh berenang semula ke kawasan darat. Jadi, itu merupakan asas pengetahuan yang perlu kita ada,” katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Bagaimana ‘rip current’ itu boleh dikesan?

Katanya, sebenarnya di kawasan pantai kita boleh nampak. kawasan yang berombak ini dia ada buih buih putih. selalunya kita boleh nampak buih buih putih yang seperti bergerak ke arah laut balik.

Ia berbentuk lonjong, dan buih-buih putih ini sebenarnya mempunyai arus yang bergerak menolak buih ini ke laut. Kita boleh nampak ‘rip current’ ini dalam keadaan laut yang landai dalam keadaan ombak yang agak kuat.

Di manakah kejadian ‘rip current’ ini sering berlaku?

“Ia boleh berlaku hampir di mana-mana sahaja, terutama sekali di kawasan laut yang berombak, biasanya ia wujud pada ombak yang berketinggian satu meter, dan setengah meter pun sudah memadai” tambah Mohd Fadzil.

Kecerunan pantai juga memainkan peranan, ia tidak semestinya cerun dan kawasan landai pun agak mudah untuk berlakunya perangkap maut ini.

Menurutnya, ia akan berada di kawasan yang mana boleh mengumpulkan tenaga. Di Malaysia, banyak kawasan yang mempunyai tanda-tanda ‘rip current’ lebih-lebih lagi.

Disebabkan itu, tidak banyak tempat di Terengganu yang sesuai untuk dijadikan tempat mandi-manda, jelasnya lagi.