Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 97 di sini, kini boleh dilalui semua kenderaan selepas runtuhan tanah dari lereng bukit yang menimbus sebahagian laluan itu, telah dibersihkan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Rajab Ahad Ismail berkata berikutan kejadian pukul 4.45 petang Selasa itu, jalan berkenaan ditutup dua jam bagi kerja pembersihan lumpur dan tanah yang menimbus jalan berkenaan.

"Kerja membersih lumpur dan tanah itu dilakukan anggota polis dari Balai Polis Lojing dengan dibantu orang awam," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Beliau berkata jalan itu dibuka semula kepada semua kenderaan kira-kira pukul 6.30 petang Selasa sebaik semua kerja pembersihan selesai.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku ketika hujan lebat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna laluan tersebut supaya lebih berhati-hati ketika musim tengkujuh ini bagi mengelakkan sebarang kemalangan. -- Bernama