Polis akan memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan laman sosial, termasuk yang menyebar gambar atau berkongsi maklumat yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) akan memantau dan mengesan mereka yang terlibat.

"Pengguna media sosial harus menghentikan dari membuat, menyebar dan berkongsi apa-apa jua bentuk komunikasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam terutamanya yang bersifat menghasut.

"Saya telah mengarahkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) untuk memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap mereka (pengguna) yang menyalahgunakan laman sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Khalid berkata pengguna ini boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588), Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain yang berkaitan.

"Mereka (pengguna) wajar melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang berupaya menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara.

Perlu saya ingatkan kembali hak kebebasan bersuara harus diamalkan secara berhemah dan berdasarkan kebenaran," katanya.

Khalid berkata hak ini tertakluk kepada sekatan yang diterima pakai secara universal dan ditentukan oleh undang-undang khusus bagi tujuan melindungi ketenteraman awam.

Kenyataan Khalid itu adalah merujuk perkembangan kebelakangan ini di media sosial yang semakin sarat dengan fitnah serta penyebaran gambar dan maklumat palsu, seperti menghina kepimpinan negara, selain cuba menjejaskan ketenteraman awam.