TRAGEDI kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datok Keramat, hari ini, sememangnya menyayat hati.

Ia menjadi topik perbualan ramai, terutama sekali di laman sosial.

Namun tindakan sesetengah pihak yang berkongsi dan menyebarkan foto mayat dan video ketika kejadian berlaku, dianggap sangat tidak sensitif.

Antara yang dilihat kerap dikongsi netizen ketika ini ialah video ketika api marak di lokasi awal pagi tadi, dengan azan Subuh jelas berkumandang.

Menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pakar psikologi dilaporkan telah menghantar pesanan yang meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan video tersebut.


Video berkenaan boleh menyebabkan trauma dan mengganggu pemulihan mereka yang terlibat.

Mesej itu juga memaklumkan, pihak Psych HKL sedang menjalankan Paychological First Aid (PFA) untuk mangsa terselamat dan keluarga mereka.

Sejumlah 23 orang terkorban, empat serius dan tiga cedera ringan dalam kebakaran itu.