INGINKAN keseronokan berganda ketika berhibur, sebuah pusat hiburan di Jalan Yam Tuan di sini, dipercayai dijadikan port aktiviti penagihan dadah susulan penemuan beberapa paket ganja dan ketamin dalam serbuan awal pagi semalam.

Operasi khas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan itu, menahan empat pengunjung lelaki yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Pengarah AADK Negeri Sembilan, Nazira Sadiron berkata, serbuan bermula jam 11.30 malam hingga 1.30 pagi itu, dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan selepas menerima aduan awam.

“Ketika diserbu terdapat 14 pengunjung termasuk pekerjanya.

"Hasil ujian air kencing mendapati empat daripadanya berusia 40 hingga 50 tahun positif dadah dan ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai beberapa paket ganja dan serbuk putih dipercayai ketamin ditinggalkan di atas pinggan dalam sebuah bilik sekali gus mengesahkan wujud aktiviti penagihan di situ,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tidak pasti sama ada dadah itu disediakan pengusaha premis atau pelanggan sendiri yang membawanya bagi tujuan berhibur.

Selain itu katanya, pihaknya mengesyaki wujud aktiviti seks di situ berdasarkan penemuan barangan wanita termasuk pakaian dalam di dalam almari penyimpanan, selain beberapa paket ubat kuat dan tilam.

Menurutnya, ganja dan ketamin antara dadah yang biasa digunakan di pusat hiburan bagi memberi lebih keseronokan kerana konon dapat menghilangkan tekanan.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengambil beberapa langkah pencegahan bagi memastikan kelab malam di negeri ini bebas aktiviti penagihan antaranya dengan mengadakan program advokasi bersama pengusaha.

“Berdasarkan statistik, kita dapati terdapat penurunan penagihan dadah di negeri ini tapi trend penggunaan dadah jenis heroin kepada syabu dan dadah sintetik ini meningkat terutama di kawasan bandar yang mempunyai banyak institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sementara itu, operasi terbabit melibatkan seramai 50 penguat kuasa AADK dan hadir sama Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK, Zolkifli Mohd Don.