Rakyat perlu patuh kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menjamin hak bersuara mengikut saluran sesuai di samping sentiasa memastikan ketenteraman awam tidak terjejas seandainya menyertai sebarang perhimpunan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia perlu diikuti semua peserta perhimpunan selain mematuhi setiap yang sudah terkandung di dalam Perlembagaan.

"Gerakan Merah Pejuang Negara (GMPN) merupakan salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan ke seluruh negara untuk mempromosi akta betul mengenai perhimpunan.

"GMPN juga akan mengekati golongan profesional dan memberi penerangan mengenai isu ini. Kita juga akan menjawab pihak yang mempertikaikan hak dalam perlembagaan.

"Gerakan merah bukan hakindividu berkepentingan tetapi milik semua rakyat yang sayangkan Malaysia dan pertahankan Perlembagaan. Jelas, berhimpun boleh, tapi ikutlah akta," katanya kepada Astro AWANI.

Armand berkata demikian selepas menjadi panel Forum Hal Ehwal Isu Semasa 'Himpunan Jalanan dan Masa Hadapan Negara' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Forum itu dipengerusikan Ali Tinju atau Mohd Ali Baharom.

Seksyen 2 akta itu memperuntukkan hak warganegara untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tetapi tertakluk kepada sekatan yang difikirkan sesuai dalam suatu masyarakat demokrasi demi keselamatan negara serta perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Seksyen 4 pula, antara lain, menetapkan hak berhimpun tidak terpakai kepada bukan warganegara, protes jalanan serta yang melibatkan kanak-kanak.

Dalam pada itu Armand melihat jelajah penerangan di seluruh negara mengenai isu perhimpunan dapat membuka mata rakyat negara ini yang masih keliru dengan konsep berhimpun.

"Bagi Pemuda UMNO pula, kita lihat landskap politik kini lebih kepada turun ke bawah iaitu kepada akar umbi jika ada sebarang isu yang memerlukan penyelesaian," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah disiasat polis mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Tegas Khalid, polis juga menjalankan siasatan terhadap Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Penganjur Perhimpunan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos sebelum ini menjangkakan akan ada penyertaan dari golongan bukan Melayu dalam Perhimpunan Baju Merah 2.0 yang akan dianjurkannya susulan penganjuran perhimpunan Bersih 5.