Tutup

Beri jawapan segera berhubung penyakit yang menimpa penduduk Kuala Koh

Beri jawapan segera berhubung penyakit yang menimpa penduduk Kuala Koh
Anggota Hazmat JBPM melakukan pemantauan kualiti udara dan mengambil sampel air di Kuala Koh. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Kelantan mendesak pihak berkaitan supaya memberi jawapan segera berhubung penularan radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Biro Kesihatannya Dr Hafidzah Mustakim berkata pihaknya percaya negara ini tidak mengalami kekurangan tenaga pakar yang boleh memberikan penjelasan lebih tepat berkaitan penularan penyakit itu.

"Setelah beberapa lama penularan penyakit yang menimpa komuniti (Orang Asli suku Batek) Kampung Kuala Koh, masyarakat masih tertanya-tanya apakah punca sebenar wabak tersebut.

"Mengapakah penduduk Orang Asal Kampung Kuala Koh begitu mudah terdedah dengan pneumonia dan apakah menyebabkan imuniti atau ketahanan badan mereka begitu rendah kerana rata-rata mangsa setakat ini terdiri dalam kalangan orang muda," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
BACA: 'Dua hari sakit, terus mati' - Penduduk Asli Kuala Koh bimbang penularan penyakit misteri

BACA: 2 lokasi dikenal pasti, operasi kesan jasad Orang Asli Kuala Koh bermula esok


BACA: Sumber air di Kuala Koh tidak tercemar, bebas radio aktif - Hazmat

BACA: Beri masa untuk ketahui punca kematian Orang Asli Kuala Koh - Tun M
BACA: 'Bukan TB atau Leptospirosis' - Dr Dzulkefly jelas punca jangkitan Kuala Koh belum diketahui


Kementerian Kesihatan mengesahkan dua daripada 14 kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh dalam tempoh sebulan lepas berpunca daripada radang paru-paru, namun punca sebenar kematian akan diketahui dalam masa terdekat selepas ujian Serologi dan 'polymerase chain reaction' (PCR) selesai dilakukan.

Masalah kesihatan yang melanda penempatan Orang Asli Suku Batek itu menyaksikan seramai 99 penduduk dirawat dengan empat daripadanya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai membantu masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh dengan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Kebajikan dan Kemanusiaan Orang Asli Kuala Koh kelolaan Yayasan Darul Hijrah.

Sumbangan boleh dibuat menerusi pautan https://www.billplz.com/bantuanorangasli atau melalui transaksi dalam talian ke akaun Maybank: Yayasan Darul Hijrah (5660 1060 9934) dengan memaklumkan setiap sumbangan menerusi aplikasi WhatsApp (018-359 0403) dan e-mel ke admin@yayasandh.com untuk urusan resit dan audit.

-- BERNAMA



Tag: Orang Asli, Batek, Kampung Kuala Koh, Gua Musang, AWAN, wabak, radang paru-paru, pneumonia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.