Penjara Malaysia bukan hanya sebagai tempat hukuman, sebaliknya ia memberi peluang kedua kepada banduan dengan penyediaan kepada akses pendidikan untuk pencapaian akademik dan agama.

Malah mereka juga boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi seperi Doktor Falsafah (PhD).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, terdapat dua banduan sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD – tiga di peringkat Ijazah Sarjana, 13 di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan 23 lagi di peringkat Diploma.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat dapat menerima bekas-bekas banduan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Kita harus mengubah minda, kita harus beri peluang kedua kepada para banduan, kepada penagih dadah yang telah dipulihkan agar masyarakat akan jadi masyarakat yang sifar dadah dan sifar jenayah suatu hari nanti di negara kita ini, InsyaAllah," katanya.

Beliau berucap ketika perasmian serentak sambutan Hari Penjara ke-228 dan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 di Arena Merdeka, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin.

Menurut beliau, program pemulihan yang dilaksanakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan telah berjaya mengurangkan kes berulang pada kadar hanya 0.4 peratus, berbanding di Penjara California dan Florida di Amerika Syarikat, iaitu kira-kira 63 peratus.

Di bawah program itu, banduan yang baki hukumannya kurang setahun atau banduan yang melakukan kesalahan kecil ditempatkan di enam buah kem tentera di seluruh negara.