Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa supaya memberi pengecualian kepada pelindung kanak-kanak dan pegawai psikologi daripada membebani mereka dengan tugas-tugas tambahan berkuat kuasa serta-merta.

Bekas timbalan menteri kementerian itu, Hannah Yeoh berkata, ketika berkhidmat di kementerian itu, beliau mendapati pelindung kanak-kanak dan pegawai psikologi bekerja melebihi kemampuan mereka untuk membuat tindakan susulan ke atas kes-kes melibatkan kanak-kanak.

Justeru itu katanya, mereka tidak ada kapasiti untuk mengurus pelbagai isu termasuk kebajikan, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan gelandangan pada satu-satu masa.

"Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula diberi tugas tambahan untuk mengagihkan bantuan makanan ke kawasan terjejas, mengedarkan makanan yang didermakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mengawasi pusat kuarantin.

"Apabila JKM pertanggungjawabkan ketika krisis negara seperti ini, kesemua tenaga kerja terpaksa dikerahkan termasuklah bagi mengedar makanan dan tugas ini tidak terkecuali kepada pelindung kanak-kanak," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Hannah Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut memberitahu, ekoran itu tugas untuk menyelamatkan kanak-kanak dan perkhidmatan yang berkaitan terjejas.

Beliau memberitahu, PKP telah membawa sekali pelbagai kesan dan tidak terkecuali dalam isu penjagaan kanak-kanak bagi kakitangan di barisan hadapan dan ibu bapa yang dikuarantin.

Ekoran itu beliau meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya
perkhidmatan asas melibatkan kanak-kanak diberi keutamaan memandangkan kebanyakan kes keganasan terhadap kanak-kanak berakhir dengan kematian sekiranya diabaikan.

Hannah Yeoh juga menjelaskan kira-kira 30 peratus kanak-kanak di Malaysia memerlukan perlindungan dan perhatian khas.

Ekoran itu beliau berharap semua perbincangan dan perancangan untuk penubuhan agensi kanak-kanak sebelum ini tidak akan ditangguhkan.