Guru tadika dan prasekolah kerajaan serta swasta perlu diberi skim gaji khas agar mereka menikmati sekurang-kurangnya gaji minimum sekali gus tidak tersenarai di bawah garis kemiskinan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerajaan mahu guru tadika dan prasekolah mendapat gaji setimpal agar jiwa mereka fokus dan mempunyai jiwa tenang dalam mendidik anak-anak bagi mencapai pendidikan yang cemerlang.

"Hasrat kerajaan adalah untuk membantu guru-guru ini yang selama ini tertinggal, terpinggir dan diketepikan... kita mahu mereka diberikan skim gaji khas walaupun tidak menyamai skim guru di sekolah kerajaan yang sedia ada, tetapi sekurang-kurangnya nasib mereka terbela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Prasekolah Bagan Datuk di sini,pada pagi Ahad.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan menyarankan agar latihan pendidikan kepada guru tadika dan prasekolah kerajaan serta pihak pendidik swasta diselaraskan supaya mereka memperoleh gaji yang minima.

Katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan kajian terperinci mengenai penyelarasan latihan itu.

"Ada guru yang dapat gaji terlalu kecil, ada guru yang dapat gaji agak tinggi kerana mereka datang daripada tadika swasta. Apabila latihan ini diselaraskan dan silibus dikoordinasikan, saya harap guru tadika ini diberi gaji minimum," katanya.

Beliau berkata penyelarasan pendidikan perlu dilakukan bagi mengelak masyarakat dibawa arus pendidikan yang berbeza sama ada di dalam institusi pendidikan kerajaan atau swasta.

Kata beliau, pembentukan sahsiah awal harus diselaraskan agar kualiti (pendidikan) dapat diberikan penekanan supaya tidak berlaku caca marba akibat pelbagai silibus dan sukatan pelajaran.

"Kita mahu pendidikan awal sekolah membentuk sahsiah peribadi anak-anak yang menjadi aset penting generasi Malaysia pada generasi TN50," katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Amiruddin Ariffin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.