ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 30 Mei 2020.

1) COVID-19: Tahap kesihatan awam Malaysia pada tahap mantap

Tahap kesihatan awam di Malaysia setakat ini berada pada tahap yang mantap, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelas beliau, keupayaan tersebut membolehkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan aktiviti pencegahan dan pengesanan kes jangkitan COVID-19 dengan baik.

2) Kakitangan Wisma Putra dikesan positif COVID-19

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa terdapat satu kes positif COVID-19 melibatkan seorang kakitangan di kementerian beliau.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Hishammuddin menyatakan kes tersebut dikenal pasti selepas mangsa melalui satu saringan kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Wisma Putra, semalam.

3) Punca jangkitan di depoh kemungkinan dari aktiviti keluar masuk kakitangan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kemungkinan kes jangkitan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) berpunca daripada aktiviti kakitangan yang keluar masuk ke kawasan tersebut dan pendatang asing tanpa izin (PATI) lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya turut mengesan dua kes positif baharu di Depoh Tahanan Sementara Imigresen (DTSI) Putrajaya, hari ini

4) COVID-19: Pengusaha restoran boleh dikenakan kompaun jika langgar SOP

Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha restoran yang melanggar garis panduan termasuk tidak mengamalkan penjarakan sosial dalam kalangan pelanggan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kompaun sehingga RM1,000 boleh dikenakan jika mendapati individu terbabit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mencegah penularan COVID-19.

5) COVID-19: 30 kes baharu, 95 kes pulih dan tiada kematian

Kes baharu positif COVID-19 di negara ini kembali kepada dua digit apabila sebanyak 30 kes baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah sebanyak 7,762 kes.

6) Kelab malam tidak boleh beroperasi: Polis, PBT diarah ambil tindakan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis diarah mengambil langkah menutup kelab malam yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan meneruskan operasi kelab malam adalah satu kesalahan dan melanggar undang-undang.

7) Rakyat Malaysia masih tidak dibenarkan ke luar negara

Kerajaan masih tidak membenarkan mana-mana rakyat Malaysia meninggalkan tanah air dan menuju ke negara lain.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan itu turut melibatkan para pelajar Malaysia yang berhasrat kembali ke universiti di luar negara.

8) Boleh rentas negeri, tapi bersyarat

Mesyuarat Khas Menteri hari ini bersetuju untuk kembali memberi kelonggaran rentas negeri bermula 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, kebenaran hanya akan diberi kepada pasangan terpisah, urusan kesihatan, bekerja dan kecemasan seperti kematian.

9) Ziarah Aidilfitri: PDRM keluarkan satu kompaun

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebahagian daripada 471 individu yang dikompaun atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

10) COVID-19: Malaysia dalam fasa pemulihan terakhir - Noor Hisham

Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas berhasil mengurangkan penularan kes baharu COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada ketika ini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei lepas turut berjaya menurunkan nilai kebolehjangkitan atau R0 (R-naught) sehingga 0.3 berbanding 0.6 ketika pelaksanaan PKP.