ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 26 Julai 2020.

1) PKP dilaksanakan semula jika kes COVID-19 cecah tiga angka

Kerajaan akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes COVID-19 kembali mencecah tiga angka, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

2) Ketetapan aktiviti rentas negeri diumum esok

Kerajaan akan membuat keputusan dan ketetapan berhubung aktiviti rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

3) COVID-19: Satu kes kematian, 13 kes baharu hari ini

Selepas enam hari, Malaysia kembali mencatatkan satu kes kematian akibat COVID-19 pada Ahad. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-124 merupakan wanita tempatan berumur 63 tahun

4) Ingkar PKPP, 617 individu ditahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu telah menahan 617 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 20 individu direman manakala baki 597 individu lagi dikenakan kompaun.

5) Individu gagal jalani ujian saringan kedua COVID-19 ditangkap mulai esok

Bermula esok, polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

6) Dua kategori rentas sempadan dimuktamadkan antara Malaysia-Singapura

Singapura dan Malaysia telah mencapai kata sepakat dan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai kebenaran merentasi sempadan untuk dua kategori.

7) Guan Eng tinggalkan SPRM selepas lapan jam beri keterangan

Selepas lapan jam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selesai memberi keterangan kali ketiga berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

8) 13 bot nelayan asing ditenggelamkan sehingga julai tahun ini - MAFI

Sehingga Julai tahun ini 13 bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara ini sudah dilupuskan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

9) Remaja 14 tahun mangsa terbaharu serangan buaya di Sarawak

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang keluar mencari siput di sungai bersama ibu saudara dan dua lagi rakannya menjadi mangsa terbaharu serangan buaya di Sarawak dalam tempoh tiga hari.

10) Bekas penasihat 'Dr Rozmey' mengaku tidak bersalah kes pengubahan wang haram

Bekas penasihat peribadi kepada usahawan Datuk Che Rozmey Che Din, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Ahad atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM112,000 antara 2014 hingga 2016.