ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 12 Ogos 2020.

1) COVID-19: 11 jangkitan baharu, tiada kematian direkodkan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 11 kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,114 kes dengan lapan merupakan kes import dan tiga kes merupakan penularan tempatan.

2) KKM kesan kontak rapat secara aktif di Lembah Pantai

Kementerian Kesihatan (KKM) proaktif melakukan aktiviti pemantauan sebagai tindakan awal bagi mencegah risiko penularan COVID-19 selepas satu kes membabitkan seorang pelajar dikesan di kawasan Lembah Pantai di ibu negara, hari ini.

3) Sarawak: Tiada kes positif COVID-19 baharu dilaporkan, semua daerah kini zon hijau

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan semua daerah di negeri itu sebagai zon hijau COVID-19. Ia selepas daerah Kuching dan Serian bertukar status daripada zon kuning kepada hijau setelah kedua-dua daerah ini tidak melaporkan kes COVID-19 jangkitan tempatan terbaharu dalam tempoh 14 hari.

4) Gagal patuhi SOP kuarantin di rumah, dua individu dikenakan tindakan

Dua individu dikenakan tindakan selepas didapati gagal mematuhi SOP kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing seperti yang ditetapkan. Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ia susulan pemeriksaan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa, ke atas 1,559 individu yang sedang menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

5) 182 dikenakan tindakan kerana ingkar arahan PKP - Ismail Sabri

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan 18 daripadanya direman manakala 162 lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan.

6) Judi Sungai Buloh: Rombakan dalaman diputuskan selepas siasatan selesai - KPN

Sebarang tindakan termasuk rombakan dalaman melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hanya akan diputuskan selepas siasatan berhubung kes perjudian di daerah itu selesai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

7) Kerajaan perlu RM1.2 bilion jika PRU dibuat sekarang

Sebanyak RM1.2 bilion perlu diperuntukkan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) seandainya ia diadakan sekarang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peningkatan itu adalah dari anggaran RM700 juta yang perlu diperuntukkan pada PRU15.

8) Operasi besar-besaran: Peniaga mengeluh anggap MBSA 'balas dendam'

Tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan gerakan operasi besar-besaran di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh pada Rabu, susulan penularan video yang dikongsikan oleh seorang penjual burger baru-baru ini, mengundang keluhan dan rungutan para peniaga yang menyifatkannya sebagai 'membalas dendam'.

9) Slim Memilih: Sah, parti baharu Tun M pertaruhkan peguam di PRK DUN Slim

Parti baharu ditubuhkan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertaruhkan peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim. Bagaimanapun, Amir Khusyairi akan bertanding sebagai calon Bebas memandangkan parti baharu itu masih belum didaftarkan secara rasmi.

10) Tun M umum nama parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air

Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya baru-baru ini akan dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air. Pengumuman itu dibuat pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini pada malam Rabu.