ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 17 Ogos 2020.

1) COVID-19: 12 kes baharu, 7 dari Kluster Tawar dan tiada kematian direkodkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 12 kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,212 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 kes merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara manakala dua lagi adalah kes import membabitkan warganegara asing.

2) Sarawak: Tiada kes positif COVID-19 terbaharu, tujuh kluster kekal aktif

Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan terbaharu kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif setakat ini kekal dengan 682 kes.

3) Pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura dibuka hari ini

Pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang alik berkala (PCA) mula dibuka hari ini.

RGL akan membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi.

4) COVID-19: KAFA Al Khairiah arah kelas 3 Abu Bakar dan 5 Ali bercuti 8 hari

Sekolah Kafa Integrasi Al-Khairiah (KAFAI Al Khairiah) di AU3, Medan Sri Keramat di sini memberi cuti kepada dua kelas iaitu Kelas 3 Abu Bakar dan 5 Ali susulan dua muridnya mempunyai kontak rapat melibatkan kes COVID-19 di Restoran Ali Maju Sri Rampai, ibu negara.

5) Tengku Maimun, wanita pertama Ketua Hakim Negara kini bergelar 'Tun'

Ketua Hakim Negara Ke-10, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

6) Dianugerahkan 'Tan Sri' oleh Agong merupakan penghargaan buat warga KKM - Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham merupakan antara individu yang dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

7) Remaja bawah umur bersalah bunuh 23 penghuni tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati seorang remaja berusia 19 tahun, suspek utama dalam insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, di sini yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden sebagai bersalah.

8) Nelayan Vietnam ditembak: Anggota patuh 'Rules of Engagement' guna senjata api

Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mematuhi 'Rules of Engagement' penggunaan senjata api sebelum melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Vietnam dalam kejadian kira-kira 180 kilometer dari Muara Tok Bali, Kelantan, pada Ahad, kata Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

9) Bapa rogol anak hadapi UPSR dipenjara 32 tahun, 20 sebatan

Seorang juruteknik dihukum penjara 32 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini, kerana merogol anak sulungnya yang berusia 12 tahun sehingga mengandung, tahun lalu.

10) Nelayan Vietnam baling bom petrol, diesel, rempuh bot Maritim Malaysia sebelum ditembak

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terpaksa melepaskan tembakan yang menyebabkan seorang nelayan Vietnam maut apabila kumpulan itu membaling bom petrol serta diesel dalam cubaan membakar bot pasukan keselamatan negara.