ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 26 Ogos 2020.

1) COVID-19: 6 kes baharu, 7 pulih dan tiada kematian

Sebanyak enam kes baharu positif COVID-19 direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari Rabu, penurunan lima kes berbanding 11 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lima kes adalah penularan tempatan manakala satu lagi kes import.

2) Proses ambil keterangan Mohd Khairuddin ditunda esok

Proses mengambil keterangan dari Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ditunda pada Khamis.

3) COVID-19: Kluster Mambong di Sarawak diisytiharkan tamat

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan kluster Mambong telah ditamatkan.

Ini selepas kluster itu tidak lagi mencatatkan pertambahan kes positif COVID-19 terbaharu dalam tempoh 28 hari daripada tarikh kes terakhir dilaporkan.

4) Ketua Polis Negara bimbang penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis, penjawat awam

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador melahirkan kebimbangan dengan penularan penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam termasuk anggota polis.



5) Kerajaan tarik balik RUU had Perdana Menteri untuk dua penggal

Rang Undang-undang yang mencadangkan seorang Ahli Dewan Rakyat tidak boleh menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua penggal telah ditarik balik sewaktu persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.

6) KKM diminta kaji cadangan naikkan kompaun kepada RM10,000 - Ismail Sabri

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mengkaji cadangan menaikkan denda kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000 terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

7) 101 Projek: Kementerian Pengangkutan dahului senarai, beri tender dengan nilai terbesar RM4.47 bilion

Kerajaan mendedahkan senarai 101 projek yang dikatakan diberi secara rundingan terus (RT) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dahulu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Kementerian Pengangkutan mendahulu senarai sebagai pemberi tender paling besar dengan nilai sebanyak RM4.47 bilion untuk empat projek.

8) Muafakat Nasional terima penyertaan Bersatu demi penyatuan orang Melayu - Annuar Musa

Muafakat Nasional (MN) telah bersetuju untuk menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerjasama itu demi penyatuan orang Melayu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan pada Rabu.

9) Musa Aman peroleh kebenaran teruskan rayuan cabar pelantikan Shafie Apdal

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi meneruskan rayuannya untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah

10) Pemimpin, wakil rakyat pakai topi keledar tunjuk teladan - Wee Ka Siong

Pemimpin dan wakil rakyat dinasihat untuk mempamerkan teladan dengan memakai topi keledar ketika menunggang atau membonceng motosikal, termasuk ketika berkempen pada pilihan raya.