ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 20 September 2020.

1) COVID-19: 52 kes baharu, Kluster Ara dikenal pasti di Pulau Pinang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 52 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari Ahad menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 10,219.

2) Selepas setahun hilang, usaha mencari Acap diteruskan - JBPM

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan usaha mencari Mohamad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai acara larian Gopeng Ultra Trail (GUT) di Gua Tempurung, Gopeng, Perak pada 23 Mac tahun lalu.

3) Amaran ribut petir, angin kencang di beberapa kawasan sehingga 9 malam ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di seluruh negara sehingga 9 malam ini.

4) Ahli MT UMNO dilapor postif COVID-19 selepas berkempen di Sipitang

Seorang pemimpin UMNO dilaporkan positif COVID-19 selepas berkempen di kawasan Parlimen Sipitang.

Memetik laporan sebuah portal tempatan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kini sedang menjalani kuarantin wajib bagi mendapatkan rawatan susulan.

5) PRN Sabah: Polis sahkan cubaan warganegara jiran masuk mengundi

Polis Sabah mengesahkan terdapat cubaan warganegara jiran yang akan memasuki negara ini secara besar-besaran bagi menjalankan pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung bulan ini.

6) PRN Sabah: Disebut calon Perdana Menteri, kata Shafie tunggu lepas pilihan raya

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, sekarang bukan masanya untuk mengulas mengenai kenyataan beliau wajar diberi laluan sebagai Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan (PH) kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

7) Sokongan jadi perdana menteri, saya boleh - Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau mempunyai kebolehan dan mampu mendapat sokongan sebagai perdana menteri jika kembali ke Putrajaya.

8) "Henti sebar video 'kubur berdarah'" - Rayuan Imam Masjid Al Irfan pada masyarakat

Imam Masjid Al Irfan di Derga, di sini, Abdul Hadi Awang, 55, merayu kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran video “kubur berdarah” seperti yang sedang tular di media sosial.

9) Polis terima laporan dakwa terlihat pesawat terjunam ke dalam laut di Tanjung Bungah

Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada petang Ahad.

10) Enam dipercayai PATI Indonesia ditemui lemas di Pantai Teluk C

Enam individu yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditemui lemas di persisiran Pantai Teluk C, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, pagi tadi.