ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 25 September 2020.

1) COVID-19: 111 kes baharu dilaporkan, 97 dari Sabah

Kes positif COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan tiga angka dengan merekodkan 111 kes setakat jam 12.00 tengah hari pada Jumaat, 25 September 2020.

2) COVID-19: Mutasi D614G didapati dalam lima kluster - Dr Noor Hisham

Virus COVID-19 bagi lima kluster di negara ini, melibatkan Kluster Benteng LD, Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai dan Kluster Bukit Tiram didapati jenis mutasi D614G, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

3) COVID-19: Menteri Besar Terengganu diarah jalani kuarantin 14 hari

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari oleh Pengarah Kesihatan Negeri.

4) PRN Sabah: SPR beri jaminan tiada pengundi hantu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan tiada pengundi hantu pada pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok.

5) PRN Sabah: Penjawat awam di zon merah diarah kuarantin wajib 14 hari

Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah mengarahkan semua penjawat awam yang akan mengundi di empat lokasi zon merah COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

6) Belum ada keputusan PKP di Sabah selepas PRN - Ismail Sabri

Belum ada keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah dijalankan.

7) Agong masih di hospital, pertemuan dengan Anwar ditangguhkan seminggu

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah tidak memperkenankan sesiapa untuk menghadap dalam masa seminggu kerana baginda masih dalam pemerhatian doktor.

8) "Selagi belum dititah menghadap Agong, saya masih PM" - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, sehingga kini, beliau masih lagi menjawat kedudukan sebagai Perdana -Menteri melainkan telah dititah menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memaklumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan untuk menukar kerajaan.

9) Anwar pernah dakwa ada majoriti tapi sebenarnya tiada - Tun Mahathir

Dakwaan yang dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan bahawa dirinya cukup sokongan majoriti untuk dipilih sebagai Perdana Menteri pernah dilakukan pemimpin terbabit ketika krisis politik yang berlaku pada Februari lalu.

10) Zahid perlu perjelas, redakan segala keraguan - Ketua UMNO Bahagian

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu memberi penjelasan kepada pimpinan tertinggi parti serta ahli berkenaan sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, ahli-ahli UMNO ingin mengetahui kenapa keputusan tersebut dibuat.