ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 13 Oktober 2020.

1. Tengku Razaleigh gesa Dewan Rakyat bahas Usul Tidak Percaya

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dikemukakan di Dewan Rakyat.

Perkara itu didedahkan oleh Tengku Razaleigh menerusi sepucuk surat yang dihantar beliau kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 September lalu.

2. Azhar nafi PM halang usul undi tidak percaya dibahas di Dewan Rakyat

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menafikan dakwaan Perdana Menteri menghalang usul undi tidak percaya terhadapnya dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Dewan Rakyat sebelum ini, usul yang sama pernah dikemukan dan tidak dihalang, namun tidak sempat dibahaskan disebabkan susun atur aturan mesyuarat.

3. Ku Li dipanggil menghadap Agong untuk beri pandangan

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen paling lama berkhidmat.

Setiausaha Politik Tengku Razaleigh, Mohd Lokman Ghani berkata, pertemuan itu adalah atas perkenan Al-Sultan Abdullah untuk mendapatkan pandangan daripada Tengku Razaleigh mengenai situasi semasa politik negara.

4. Jangan terkejut jika UMNO beri sokongan kepada Anwar - Tajuddin

UMNO sedia memberi kerjasama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika Presiden PKR itu mempunyai formula yang boleh membahagiakan semua pihak di dalam parti itu sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan, sokongan itu juga tidak mustahil diperolehi daripada parti-parti lain seandainya mereka berpendapat Ketua Pembangkang itu boleh memberi apa yang dimahukan.

5. 'Datuk Seri' dan konco terlibat kegiatan haram diburu polis

Polis sedang mengesan saki-baki anggota sebuah kumpulan yang giat melakukan kegiatan pengubahan wang haram dan dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.

Mereka yang diburu termasuk seorang ahli perniagaan yang dipercayai melarikan diri sebaik sahaja dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kumpulan tersebut bagi kes berkaitan pengubahan wang haram.

6. Suspek bunuh dan lumur bayi dengan garam diusung ke mahkamah

Seorang pekebun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan anaknya yang berusia lapan bulan sebelum dilumur garam dan ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati di dalam guni di rumahnya di kampung sungai dua, Bachok semalam.

Perintah reman berkuatkuasa hari ini sehingga Selasa depan dikeluarkan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Bachok, pagi tadi.

7. Dr Zulkifli Mohamad pulih dari COVID-19, dibenar keluar wad hari ini

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dibenarkan keluar dari wad hari ini selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkannya untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

8. Pertemuan Ahmad Zahid - Agong ditangguhkan

Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok, ditangguhkan.

Ahmad Zahid ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, pertemuan tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

9. COVID-19: 660 kes baharu, 4 kematian di Sabah dilaporkan hari ini

Sejumlah 660 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan dua hari berturut-turut dengan hampir 65 peratus daripadanya membabitkan jangkitan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes mencecah 17,540 dengan 5,768 kes aktif.

10. Saman sabitan liwat: Rayuan Anwar Ibrahim didengar 11 Jan 2021

Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman pemula seorang peguam berhubung pengampunan penuh yang diberikan kepada beliau bagi sabitan dan hukuman penjara dalam kes meliwat pembantunya, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 11 Jan tahun depan.

Peguamnya, J. Leela berkata tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Noridah Adam yang dikendalikan secara dalam talian menerusi sistem e-Review hari ini.