ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 16 Oktober 2020.

1) Jangan heret negara ke arah ketidaktentuan - Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat, khususnya ahli politik, agar bermuhasabah supaya negara tidak diheret ke kancah politik yang tidak menentu.

2) Tun M jumpa Ku Li, bincang usul tidak percaya - Sumber

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li secara terbuka telah menyatakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

3) Khairy nafi sokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin menafikan beliau salah seorang Ahli Parlimen yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

4) Amiruddin kemuka surat Usul Tidak Percaya terhadap PM

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah memaklumkan beliau telah menghantar surat berkenaan Usul Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

5) 3 lagi Ahli Parlimen kemuka surat Usul Tidak Percaya terhadap PM

Lagi Usul Tidak Percaya terhadap perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikemukakan kepada Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

6) COVID-19: 629 kes baharu, enam kematian dilaporkan hari ini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 629 kes baharu penularan jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam setakat hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara sebanyak 18,758 kes.

7) COVID-19: KKM kesan tiga lagi kluster baharu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan tiga lagi kluster baharu iaitu Kluster Lekir, Kluster Buntar dan Kluster Merbok

8) PKPB di Kampung Padang Che Mas, Kedah mulai 18 Oktober

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan cadangan MKN Kedah mengenai situasi di kampung tersebut.

9) EAIC buka kertas siasatan kes suspek sindiket Macau Scam lari panjat pagar SPRM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini telah membuka kertas siasatan terhadap insiden membabitkan kehilangan suspek utama kes pengubahan wang haram yang mendalangi sindiket penipuan 'Macau Scam', ketika dalam proses serahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada polis baru-baru ini

10) Peguam 'pelik' enam kes disiasat serentak terhadap Anwar

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh meluahkan rasa ‘pelik’ terhadap enam kertas siasatan membabitkan Ketua Pembangkang itu.