ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 30 Oktober 2020.

1) COVID-19: Malaysia catat 799 kes baharu, tiga kes kematian

Malaysia mencatatkan sebanyak 799 jangkitan baharu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini ialah 30,889 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes jangkitan baharu merupakan penularan dalam tempatan.

2) KKM harap Akta 342 dipinda segera

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dapat dipinda dalam waktu terdekat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pindaan itu dibuat berikutan masalah jangkitan penyakit kini tidak lagi terhad kepada lokaliti tertentu saja.

3) COVID-19: Miri, Limbang dan Lundu kini berstatus kuning

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan tiga daerah iaitu Lundu, Miri dan Limbang telah bertukar status dari zon hijau ke kuning.

4) Pesawat pertama bawa bekalan bantuan kesihatan ke Sabah selamat tiba di KKIA 

Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C-130h itu yang berlepas pada jam 7 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang selamat mendarat di KKIA dan disambut oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

5) PKPB Kg Padang Che Mas, Baling ditamatkan ikut jadual - Ismail Sabri

 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kg Padang Che Mas, Baling, Kedah ditamatkan pada 31 Okt sebagaimana dijadualkan.

6) Tun Mahathir nafi dakwaan galakkan keganasan di Perancis

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mengalakkan keganasan di Perancis.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kenyataan dalam blog beliau semalam sengaja diputar belitkan oleh pihak tertentu.

7) Felda kurangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka

Felda akan mengurangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada Peneroka bagi mengurangkan bebanan hutang mereka, kata Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

8) Serangan objek tajam, punca kematian jurutera ditemukan rentung dalam kereta

Laporan bedah siasat ke atas seorang jurutera tapak yang ditemukan rentung hampir 90 peratus, dalam sebuah kereta di Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre, Sepang mendapati mangsa mati akibat serangan menggunakan objek tajam.

9) COVID-19: Penduduk PPR akui mengalami kesempitan berterusan, ketara

Kajian yang dilakukan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan United Nations Population Fund (UNFPA) untuk melihat kesan COVID-19 ke atas sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di flat kos rendah baru-baru ini mendapati mereka mengalami kesempitan yang ketara dan berterusan

10 Belanjawan Selangor 2021 peruntuk RM2.323 bilion

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.323 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021.