ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 24 November 2020.

1) COVID-19: 2,188 kes baharu direkod, semuanya penularan tempatan

Malaysia merekodkan sebanyak 2,188 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 58,847 kes.

2) Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, terbunuh akibat ditembak, awal pagi Selasa.

3) Anggota PGA ditembak: "Suami tinggalkan kami sebagai wira negara" - Isteri

"Kematiannya sangat menyedihkan, tapi saya berbangga kerana suami meninggalkan kami ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara, dia seorang wira," kata isteri mendiang Kpl Baharuddin Ramli yang terkorban selepas terkena tembakan penjenayah di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi tadi.

4) Kes tembak anggota PGA: 6 suspek ditahan, 3 rakyat Malaysia diburu

Tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian tembak-menembak sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi, ditahan ketika mendapatkan rawatan di Songkhla dan Hatyai.

5) Dewan Rakyat: Kerajaan pertimbang isytihar darurat di DUN Bugaya, Parlimen Gerik

Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak sepertimana dilaksana di Parlimen Batu Sapi.

6) Dewan kecoh pembangkang persoal kehadiran Jeffrey ke sidang Parlimen

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika selepas blok pembangkang mempersoalkan kehadiran Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam sesi hari ini.

7) Kerajaan akan terus bela nasib rakyat meskipun banyak tohmahan dilemparkan - Tengku Zafrul

Kerajaan akan terus membela nasib rakyat meskipun banyak tohmahan bukan-bukan dilemparkan kepada Perikatan Nasional (PN) sejak kebelakangan ini.

8) "Kalau ada unsur menipu, saya sedia letak jawatan" - Wee Ka Siong

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedia meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan sekiranya fakta berhubung projek Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat mempunyai unsur penipuan.

9) Rakyat Malaysia dijangka bekerja lebih lama pada masa depan - Mustapa Mohamed

Rakyat Malaysia dijangka akan bekerja lebih lama pada masa depan bagi memastikan perlindungan kewangan yang mencukupi untuk hari tua.

10) Muhyiddin selami masalah, zahir rasa kagum usaha keras pemandu, penunggang e-hailing

Keluhan dan masalah yang membelenggu bagi mereka yang bergelar penunggang Grab akhirnya didengari oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau meluangkan masa turun padang menemui mereka pada Selasa.