ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI. Berikut merupakan antara berita yang menjadi tumpuan sepanjang hari Sabtu, 16 januari 2021.

1) COVID-19: 4,029 jangkitan, kes harian paling tinggi!

Malaysia merekodkan kes harian paling tinggi COVID-19 apabila sejumlah 4,029 kes positif dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 4,021 merupakan kes jangkitan tempatan manakala lapan lagi kes import.

2) COVID-19: Pembukaan sekolah di seluruh negara pada 20 Januari ditangguh - KPM

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.

Menurut satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

3) Vaksin COVID-19: KKM lakukan penilaian risiko susulan kematian di Norway - Dr Adham

Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk meneliti dan membuat penilaian terhadap vaksin buatan Pfizer-BioNTech.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba mengeluarkan arahan berkenaan susulan laporan kematian 23 individu berusia 80 tahun ke atas di Norway selepas disuntik vaksin COVID-19 itu.

4) 21 ahli keluarga, tetamu kenduri perkahwinan, tahlil positif COVID-19

Sejumlah 21 individu dikesan positif melibatkan Kluster Kampung Lebu yang merupakan salah satu daripada enam kluster baharu yang dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, kluster tersebut berkait kenduri perkahwinan dan tahlil melibatkan daerah Bentong dan Kuantan di Pahang.

5) Naib Presiden Pas, Idris Ahmad positif COVID-19

Selepas beberapa pemimpin politik disahkan positif COVID-19, kini giliran Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula menerima jangkitan berkenaan.

Ahli Dewan Negara itu disahkan positif selepas dipercayai menjadi kontak rapat ketika berada di Perlis.

6) Jeffrey pulih COVID-19, dibenarkan pulang

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan isteri telah discaj dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) selepas pulih daripada jangkitan COVID-19 hari ini.

Jeffrey dan Datin Seri Cecilia Kitingan meninggalkan hospital itu pada 1 tengah hari selepas dimasukkan ke hospital sejak 4 Jan berikutan mereka disahkan positif ujian COVID-19 pada 3 Jan.

7) Hospital Bersepadu MAEPS mula beroperasi 24 Jan depan - Dr Adham

Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, dekat sini akan mula beroperasi pada 24 Jan ini bagi merawat pesakit COVID-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum mereka dihantar mendapatkan rawatan rapi ke hospital.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata strategi itu bertujuan merawat kes-kes pesakit COVID-19 dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 kategori satu dan dua yang tiba-tiba ke kategori tiga atau empat dan lima.

8) Pembinaan dewan masyarakat RM35 juta di Pagoh cetus persoalan

Dewan masyarakat bagaimana yang memerlukan kos pembinaan mencecah RM35 juta?

Itu persoalan yang dibangkitkan beberapa pihak selepas pendedahan satu surat yang dipercayai ditandatangani Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nor Azri Zulfakar, kepada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman, mengenai projek di Parlimen Pagoh.

9) Tun Salleh Abas meninggal dunia

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada usia 91 tahun hari ini.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, pada pukul 3.20 pagi.

10) Majlis Presiden PH bincang kerjasama Anwar, Tun M

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilapor membincangkan cadangan kerjasama antara Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Difahamkan cadangan kerjasama dengan Dr Mahathir itu dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada penghujung mesyuarat tersebut yang diadakan pada 11 Januari lalu.

10 Berita Pilihan - (16 Januari 2021)