ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 20 September 2021.

1. SPRM sahkan penahanan tiga pegawai berhubung dakwaan salah guna kuasa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.

2. PICK Remaja: 85,076 divaksinasi, tiada kesan sampingan serius - Khairy

Sehingga 16 September lalu, seramai 85,076 remaja di Sarawak, Sabah dan Labuan sudah diberikan dos pertama vaksin Comirnaty keluaran Pfizer BioNTech di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja).

3. Gelembung pelancongan: Kementerian bincang kebenaran rentas negeri ke beberapa lagi destinasi

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan mengadakan perbincangan bagi membenarkan rentas negeri dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara.

4. Percantuman parti untuk bentuk kerajaan tidak boleh dianggap lompat parti - Dr Mahathir

Pembentukan sesebuah kerajaan melalui cantuman antara parti terbesar dan parti-parti politik lain tidak boleh ditafsirkan sebagai melompat parti, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

5. Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa sebabkan kematian di Lebuhraya Persekutuan

Seorang pegawai pemasaran pengangkutan yang memandu kenderaan secara melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja terkorban di kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan, 12 Setember lalu didakwa atas tuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Shah Alam.

6. COVID-19: 14,345 kes baharu hari ini, Sarawak dan Johor penyumbang tertinggi

Jumlah bagi kes harian baharu COVID-19 kekal mencatatkan trend penurunan apabila sebanyak 14,345 kes dilaporkan bagi tempoh 24 jam yang lalu berbanding 14,954 kes yang direkodkan pada hari sebelumnya.

7. 'Ada seseorang yang terlepas 46 kes' - Tun M gesa jawatan Peguam Negara disemak semula

Fungsi jawatan Peguam Negara perlu disemak semula, sekali gus memastikan wujud pengasingan antara tugas-tugas 'penghakiman' dan pendakwa raya.

8. Shafee beli rumah banglo di Bukit Tunku guna cek RM9.5 juta daripada Najib - Saksi

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa cek berjumlah RM9.5 juta yang diterima Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 dan 2014, digunakan untuk membeli sebuah rumah banglo di Bukit Tunku.

9. Bukit Aman sahkan Nur Sajat ditahan Imigresen Thailand, sedang pohon ekstradisi

Bukit Aman mengesahkan usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat telah ditangkap pada 8 September lalu oleh pihak Imigresen Thailand.

10. Siasatan salah guna kuasa, penyelewengan pegawai SPRM perlu diambil alih PDRM - Hussamuddin

Siasatan kes tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan perlu diambil alih Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta-merta.