ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 27 Januari 2022.

1. PRN Johor: PKR, Amanah bertanding 20 kerusi, DAP 16 kerusi

Sebanyak 20 kerusi bakal ditandingi masing-masing oleh PKR dan Amanah, sementara DAP 16 kerusi, pada PRN Johor akan datang, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

2. SOP baharu umrah telah siap - Nancy

Garis panduan prosedur operasi standard baharu ibadah umrah yang dikemas kini oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya telah siap sepenuhnya, kata Datuk Seri Nancy Shukri.

3. Najib gagal dalam rayuan saman AmBank, bekas pegawai

Datuk Seri Najib Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini, agar samannya terhadap AmBank dan dua lagi pihak, didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

4. PN muktamad agihan kerusi bersama Pas dan Gerakan seminggu lagi - Muhyiddin

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu akan diputuskan selepas selesai rundingan bersama rakan dalam parti gabungan termasuk Pas serta Parti Gerakan Rakyat Semalaysia (Gerakan).

5. Mazlan Bujang keluar parti, sokong kepimpinan Hasni Mohammad

Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang hari ini mengumumkan beliau, dan 23 ahli bahagian lain, keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta-merta.

6. Tarif baharu elektrik sudah dimuktamad Kabinet, diumum tidak lama lagi - Takiyuddin

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu telah diputuskan pada Rabu lepas.

7. PICKids: Penghantaran pertama vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak tiba esok

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dengan ketibaan Vaksin Pfizer (Kanak-kanak) itu, pemberian vaksin akan bermula pada 3 Februari ini.

8. COVID-19: Kes baharu kembali lepasi paras 5,000

Dr Noor Hisham juga menjelaskan sebanyak 4,409 kes sembuh dilaporkan pada Khamis menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 2,770,663 kes.

9. Zizie Izette layak terima RM2.8 juta, perkenal suami untuk Felcra buat pelaburan - Saksi

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

10. Zii Jia, Jin Wei boleh beraksi dalam kejohanan antarabangsa - BAM

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersetuju membenarkan pemain badminton negara Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei bertanding dalam kejohanan antarabangsa.