KUCHING:Sarawak berharap Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 Nov (Jumaat) depan, tidak melupakan keperluan dalam membantu golongan belia di seluruh negara yang sebahagian besarnya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ketika ini seluruh kategori strata masyarakat, termasuk belia terjejas akibat pandemik itu, sama ada dari segi pekerjaan mahupun kehidupan mereka.

"Saya percaya mesti ada (sesuatu bagi golongan belia), bajet kerajaan pusat tidak akan meminggirkan golongan ini, kerana belia cukup penting dalam pembangunan sesebuah negara," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Belia Sarawak 2020 di sini, pada Sabtu. 

Mengenai cadangan untuk kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 dari akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Bajet 2021, Abdul Karim berkata perkara itu belum dipastikan.

"Saya percaya kerajaan Pusat akan meneliti cadangan terbabit dengan sebaik-baiknya dan memastikan akan ada kebaikannya terhadap pemegang akaun itu, ketika rakyat sedang berhadapan masalah COVID-19," katanya.

Mengenai program Jelajah Belia Sarawak 2020 itu, beliau berkata setakat ini sebanyak 18 lokasi di seluruh negeri yang telah dilawati dan permintaan utama belia Sarawak ialah memohon kerajaan untuk mempercepatkan usaha menambah baik perhubungan digital negeri ini.

Katanya, ini kerana ramai belia Sarawak terutama di luar bandar dan pedalaman menghadapi masalah bagi memuat turun atau memuat naik gambar, video atau maklumat ketika menggunakan perhubungan digital.

"Saya berani katakan hampir setiap tempat kita adakan acara jelajah ini, pasti ada satu soalan (dari belia Sarawak) berkenaan perkara tersebuti," katanya.

-- BERNAMA