KOTA KINABALU:Kes di Kluster Rumah Merah di Sabah mencatatkan peningkatan mendadak dengan 111 kes baharu positif COVID-19 pada Sabtu.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, peningkatan tersebut direkodkan hasil saringan yang telah dilaksanakan ke atas dua blok pusat tahanan sementara (PTS) Menggatal.

Bilangan kes dijangka akan terus meningkat untuk tempoh beberapa hari lagi. Ini disebabkan PTS berkenaan mempunyai 10 blok dengan jumlah keseluruhan 1,706 orang tahanan.

Jelasnya lagi, peningkatan drastik itu turut menyumbang kepada kes baharu di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan hari ini adalah 529 kes.

Sementara itu bagi menampung beban tugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah bilangan jururawat dan pegawai perubatan.

"Dalam usaha kerajaan membantu  membendung wabak COVID-19 di Sabah, KKM telah menghantar seramai 128 orang jururawat kontrak dan telah melapor diri ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan sedang menjalani latihan sebelum mula bertugas. 

"Manakala, sembilan orang pegawai perubatan dari Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Terengganu juga telah tiba di Sabah pada hari ini," ujarnya.

Tambah Masidi, biarpun terdapat penambahan drastik,  terdapat pengurangan kes di beberapa daerah yang diletakkan di zon merah.

Berbanding Jumaat, bilangan zon merah berkurang kepada 16 daerah pada Sabtu dengan Beaufort diletakkan semula di zon kuning bersama sembilan daerah lain.

"Tiada kematian dicatatkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini sebanyak 15,048 kes. 

Pada hari ini juga seramai 3,393 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 654 orang di hospital dan 2,739 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC)," ujarnya.