KUALA LUMPUR:Majlis Profesor Negara (MPN) meminta supaya kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

Dalam kenyataanya, MPN menyifatkan langkah ini sebagai kemudahan tunai yang amat diperlukan bagi meneruskan kehidupan dan kesejahteraan golongan pekerja yang diberhentikan.

"Dalam persekitaran ekonomi yang tidak memberangsangkan, negara memerlukan rakyat mempunyai kuasa beli yang tinggi untuk mengekal sektor ekonomi agar terus berkembang dan pembuangan pekerja dapat dihentikan," jelas MPN.

Malah MPN berpendapat, langkah ini mungkin tidak melibatkan majoriti pencarum KWSP dan tidak menjejaskan pasaran bon tempatan.

BACA: KWSP berdepan kekurangan dana besar jika pengeluaran Akaun 1 dibenarkan - Pakar ekonomi

BACA: Para pencarum diharap bersabar, tunggu pengumuman Belanjawan 2021 - KWSP

BACA: 71 peratus pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM50,000


"Kita percaya jumlah pencarum yang mahu mengeluarkan wang dari Akaun 1 KWSP mungkin kurang sedikit daripada mereka yang mengambil Skim i-Lestari dan jumlah yang dijangka akan dikeluarkan mungkin pada aras di bawah RM60 bilion," jelas kenyataan itu.

Majlis berkenaan juga berpendapat, langkah untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP bukan langkah yang salah jika digunakan ketika berhadapan kesusahan.

"Betul simpanan KWSP adalah untuk hari tua, tetapi tidak salah jika ia digunakan sedikit oleh rakyat semasa mereka susah," tegas MPN.

Terdahulu, KWSP mendedahkan 71 peratus daripada ahli aktifnya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan mereka.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, berdasarkan kajian itu bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara.