IPOH:Kehadiran pelancong domestik ke Perak sedikit terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 14 Okt lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata impak tersebut boleh dilihat menerusi kadar penginapan di hotel yang kini berkurang sehingga 30 peratus.

"Jika pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kita lihat kadar penginapan hotel pada tahap 50 peratus, kini ia berkurangan kepada 20 hingga 30 peratus.

"Kita harap dapat bantu rakan-rakan yang sedang menghadapi PKPB untuk memutuskan rantaian COVID-19 agar kita dapat kembali bergerak bebas di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan air pancut Bulatan Sultan Yussuf di sini, pada Sabtu malam yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Mengenai usaha menaik taraf air pancut Bulatan Sultan Yussuf, Nolee Ashilin berkata langkah itu perlu kerana ia merupakan mercu tanda bandar raya Ipoh yang dibina sejak 1963.

Katanya, projek berkenaan menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sistem air pancut yang lebih baik selain mempunyai sebuah glob di bahagian atas struktur sebagai salah satu tarikan pelancong berikutan kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar raya Ipoh.

Projek itu menelan kos RM400,000 dengan RM200,000 disumbangkan sebuah hotel di sini manakala selebihnya dibiayai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri melibatkan kerja menaik taraf landskap dan struktur utama tanpa mengubah struktur asal.

-- BERNAMA