Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta semua pihak supaya berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Presidennya Adnan Mat menegaskan pihaknya kesal dengan tindakan sesetengah pihak terutamanya yang mewakili suara majikan di sektor swasta kerana mempertikaikan pemberian bantuan tersebut.

"CUEPACS percaya Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyedari bantuan yang diterima penjawat awam ini secara tidak langsung membantu majikan-majikan dan sektor swasta termasuk peniaga kecil untuk terus berkembang maju semula.

"Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan sektor ekonomi beroperasi. Secara tidak langsung wang yang akan dibelanjakan penjawat awam melalui bantuan khas ini sudah pasti membantu merancakkan kembali perniagaan di sektor swasta. Bagi pihak majikan, MEF sepatutnya mengetahui perkara ini dan tidak wajar membina persepsi negatif kepada kerajaan dan penjawat awam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

CUEPACS katanya berpendapat peruntukan bantuan khas yang diterima penjawat awam telah dibuat dan dirangka sebelum negara mengalami krisis pandemik COVID-19.

"Jika dilihat tahun-tahun sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan jumlah sama untuk diberi kepada penjawat awam sebagai bantuan perbelanjaan pada hari raya Aidilfitri. Justeru, tiada isu mengenai keupayaan kewangan kerajaan kerana ia adalah sebahagian peruntukan yang disalurkan setiap tahun kepada penjawat awam.

"Dalam masa sama, kerajaan tetap prihatin dengan nasib semua peringkat rakyat apabila pelbagai bantuan telah disalurkan melalui Bantuan Prihatin Nasional sebelum ini dan CUEPACS percaya lebih banyak bantuan lain akan disalurkan pada masa akan datang," katanya.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan MEF mengkritik keputusan kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam dengan alasan sektor swasta lebih terjejas ekoran COVID-19 dan berhak mendapat lebih banyak bantuan.

Pada 11 Mei, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman memaklumkan kerajaan memutuskan pemberian Bantuan Khas Aidilfitiri kepada kakitangan awam persekutuan Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM500 dan RM250 kepada pesara kerajaan.

-- BERNAMA