KUALA LUMPUR:Kes kesalahan lalu lintas perlu melalui pelaksanaan pendigitalan bermula 2021, bagi mengurangkan bilangan kes terlalu tinggi, sehingga mengambil banyak masa kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam Amanat Tahun Baharu 2021 bertajuk “Mengimbas Kembali 2020, dan Aspirasi 2021”, beliau berkata, bilangan kes yang tercatat antara Januari hingga Oktober 2020 sahaja adalah sebanyak 882,013 kes.

Biarpun ia lebih kurang berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,396,188 kerana sekatan pergerakan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Tengku Maimun berkata, ia masih terlalu tinggi, dan perlu dilupuskan melalui pendigitalan.

“Rancangan Badan Kehakiman untuk tahun 2021 adalah untuk mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

“Pada masa ini, terdapat mekanisme dalam seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat.

“Melalui kaedah tersebut, Majistret dibenarkan untuk mengecualikan kehadiran tertuduh, untuk mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman denda sahaja,” katanya lagi.

Bagi mengurangkan kesesakan dan untuk meningkatkan lagi akses kepada keadilan dan kecekapan Mahkamah Majistret, Tengku Maimun berkata, adalah dicadangkan, sebagai tambahan kepada kaedah pengakuan bersalah melalui surat, untuk membenarkan penerimaan pengakuan bersalah dan untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja, melalui sistem elektronik yang ditetapkan.

Jelasnya lagi, kaedah itu telah dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura, England dan Wales serta Australia.

“Apabila sistem pengakuan bersalah secara elektronik dilaksanakan, projek seterusnya adalah untuk menggabungkannya dengan teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) sebagai garis panduan penghukuman.

“Mahkamah Rendah di Sabah dan Sarawak telah menerajui integrasi penggunaan AI dalam menjatuhkan hukuman untuk kesalahan tertentu.

“Bagi memastikan keselarasan dalam menjatuhkan hukuman, kita berusaha untuk melakukan perkara yang sama di Semenanjung Malaysia bagi kes-kes tertentu dan kita berhasrat untuk menggabungkannya dengan sistem pengakuan bersalah melalui teknologi AI,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata, projek itu sedang dalam proses untuk dilaksanakan pada akhir tahun 2021, tertakluk kepada wujudnya undang-undang berhubung sistem pengakuan bersalah secara elektronik tersebut.

Selain itu, beliau berkata, antara cadangan pendigitalan lain yang boleh menambah keupayaan Badan Kehakiman ialah e-Pesuruhjaya Sumpah, di mana permohonan akan dihantar dan diproses secara dalam talian dan peperiksaan serta temuduga juga akan dilakukan secara dalam talian.

“Sistem ini dijangka akan beroperasi sepenuhnya bermula pada 25 Januari 2021 dan orang awam serta peguam juga boleh membuat carian berkaitan lokasi berdekatan Pesuruhjaya Sumpah dengan cara melayari laman web rasmi Badan Kehakiman.

“Dengan penggunaan teknologi di seluruh hierarki kehakiman, peguam dan litigan tidak lagi perlu membawa banyak dokumen ke Mahkamah. Anda hanya perlu membawa komputer riba atau i-Pad,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata, Badan Kehakiman juga menyedari peguam dan litigan juga membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkan ‘transcriber’ profesional untuk menjadikan Trankripsi Rakaman Mahkamah sebagai transkrip bercetak.

Selain itu, beliau berkata, pada masa ini, terutamanya di Mahkamah Rendah, Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret memberi tumpuan masa yang banyak untuk menyiapkan nota prosiding, dan ini semua memakan kos dari segi kewangan dan masa.

Oleh itu, jelasnya lagi, Badan Kehakiman akan melaksanakan Sistem Rakaman & Suara ke Teks (RVT) bagi menggantikan CRT sepenuhnya, yang mana ia mampu mengubah ucapan menjadi transkrip bertulis.

“Kita sedar bahawa sistem ini tidak sempurna tetapi, sebagai sistem pintar, ia mampu beradaptasi. Matlamatnya adalah agar sistem RVT dapat mentranskripsikan keterangan saksi dan hujahan lisan secara betul dan automatik ke dalam bentuk bertulis.

“Hakim dan peguam hanya perlu meneliti produk akhir untuk mengesahkan ketepatan transkripsi,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata, pemasangan sedang dijalankan dan dijangka selesai di 55 lokasi meliputi 320 bilik bicara pada Januari 2021 kecuali di Ipoh, dan RVT dijangka dapat dilaksanakan menjelang April 2021.