Tiga orang militan dikenakan hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan niat hendak ke negara Filipina menerusi Malaysia, bagi maksud persediaan melakukan perbuatan pengganas di negara itu.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru membuat keputusan itu terhadap dua warga Indonesia, Faisal, 24 tahun, Ali Misron, 36 tahun, dan seorang warga tempatan dari Selangor, Nor Azmi Zahyi, 49 tahun.

Keputusan dibuat selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah melakukan jenayah berkenaan. Hukuman penjara akan dilaksanakan bermula dari tarikh tangkapan.

Faisal ditahan pada 15 Jun tahun lalu jam 12.30 tengah hari, di hadapan sebuah butik, di Jalan 3, Bandar Sandakan, Daerah Sandakan, manakala Nor Azmi ditahan di tempat sama pada jam 12.20 tengah hari.

Sementara itu, Ali ditahan pada hari sama jam 6.15 petang, di balai ketibaan Lapangan Terbang Sandakan.

Salah seorang pesalah diiringi anggota polis di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI

Salah seorang pesalah diiringi anggota polis di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
Kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) JA Kanun Keseksaan itu, didapati berhubung melalui aplikasi media sosial Facebook dan merancang untuk bertemu di Sandakan sebelum bertolak ke Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas di Marawi Filipina.

Dalam pertuduhan lain, Ali yang didapati memiliki 13 gambar dan dua video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) JB dan dikenakan hukuman penjara dua tahun yang akan dilaksanakan secara berasingan dari hukuman penjara 10 tahun.

Manakala Faisal turut didakwa di bawah subseksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (semakan -1988) [Akta 357] kerana memiliki senjata berbahaya.

Senjata itu iaitu tiga bilah pisau berukuran 27.3 cm yang membawa kepada hukuman penjara 5 tahun, yang akan dilaksanakan secara berasingan dari hukuman penjara 10 tahun itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam. Faisal dan Ali diwakili peguam Farazwin Haxdy manakala Nor Azmi tidak diwakili.