Seorang pemilik syarikat kereta terpakai berputih mata apabila rakan yang diharapkan untuk memungut hutang berjumlah RM10,000 bersikap tidak amanah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 37 tahun mendakwa meminta seorang rakan untuk menyimpan terlebih dahulu wang itu pada 3 Julai lepas.

Katanya, semasa itu peminjam wang berkenaan menghubunginya dari Genting Highlands dan mangsa meminta rakan yang kebetulan berada di pusat peranginan itu untuk mengambil wang tersebut bagi pihaknya.

"Suspek mengesahkan telah menerima wang itu pada pukul 6.30 petang hari yang sama namun tidak mengangkat telefon apabila mangsa tiba di pusat peranginan itu pada pukul 9 malam.

"Mangsa telah cuba menghubungi suspek menerusi dua nombor telefon bimbitnya tapi gagal sebelum menerima WhatsApp daripada suspek mengakui telah menggunakan semua RM10,000 itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek juga mengelak daripada bertemu mangsa walaupun dipercayai masih berada di Genting Highlands berdasarkan keretanya yang berada di tempat letak kereta pada hari kejadian.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis pada malam Rabu lepas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA