Memerangi musuh yang tidak nampak bukan sesuatu yang mudah tetapi ia tidak mustahil.

Justeru, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat sarawak perlu berhati-hati dan memainkan peranan mereka dalam memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Tambah beliau, pematuhan kepada garisan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan tanggungjawab yang boleh dilakukan rakyat Sarawak.

"Kalau nampak senang kita tembak (COVID-19), tetapi ini kita tidak nampak. Sebab itu saya minta rakyat Sarawak supaya berjaaga-jaga dengan musuh yang tidak nampak ini.

"Walaupun statistik menggambarkan negeri ini telah menunjukkan penurunan kes tetapi kita tidak boleh terlalu selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sumbangsih Gawai-Raya Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak kepada petugas barisan hadapan di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.

Selain itu Abang Johari memberitahu pihaknya optimis untuk mengekalkan kes sifar COVID-19 di negeri itu dengan tumpuan kepada kawasan panas.