KUALA LUMPUR:Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti itu akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Muhyiddin, beliau optimis PN akan diterima rakyat susulan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

"Ramai yang agak meragui keputusan ini. Maklumlah, PN adalah parti yang baharu. Lambang PN tak dikenali berbanding parti-parti lain yang lebih lama. Tetapi saya mengambil risiko.

"Saya bertawakkal kepada Allah. Jika PN dapat diterima di Sabah, saya yakin PN dapat diterima oleh rakyat di seluruh negara.

"Saya percaya, dalam pilihan raya umum yang akan datang, Perikatan Nasional akan diterima baik oleh rakyat Malaysia. Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi.

"Oleh yang demikian, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, penerimaan PN oleh rakyat adalah disebabkan imej sebuah kerajaan yang berfungsi dengan kepimpinan yang prihatin, amanah dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Hasilnya, kata beliau, 17 daripada 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingan bersama parti-parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu.