Sejak Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, umum berpendapat hari ini merupakan hari paling gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan banyak kelonggaran sekatan.

Pelbagai berita gembira disampaikan Tan Sri Muhyiddin Yassin - bukan sahaja membabitkan individu, malah sektor ekonomi dan aktiviti sosial, dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

Paling mengujakan apabila kerinduan ramai orang terhadap ibu bapa di desa yang sudah hampir tiga bulan tidak bertemu, bakal berakhir apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun.

Mungkin ada dalam kalangan kita sudah mula mengemas pakaian untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi tunggu, ini perkara penting yang anda perlu tahu dalam Perutusan Perdana Menteri, pada Ahad.

1. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Ogos. Ia sekali gus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 Jun.

2. Kerajaan laksana tujuh strategi sepanjang pelaksanaan PKPP yang berkuat kuasa pada 10 Jun.

3. Aktiviti merentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun.

4. Beberapa jenis aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan dengan pematuhan SOP sepanjang PKPP.

5. Aktiviti pelancongan domestik negara sepanjang PKPP berkuat kuasa dibenarkan. Pintu sempadan negara masih ditutup untuk pelancongan luar negara.

6. Umat Islam di seluruh negara dibenarkan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dan melakukan ibadat korban yang dijangka pada 31 Julai.

BACA : Akhirnya! Aktiviti rentas negeri dibenarkan, boleh balik kampung mulai 10 Jun

7. Sesi persekolahan dibuka secara berperingkat sepanjang PKPP. .

8. Aktiviti komersial melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan dibenarkan sepanjang PKPP. Waktu operasi perniagaan juga akan kembali seperti biasa.

9. Pertandingan sukan atau permainan melibatkan perhimpunan yang ramai dan sukan bersentuhan tidak dibenarkan.

10. Pusat hiburan seperti pub, kelab malam dan pusat refleksologi serta perarakan keagamaan tidak dibenarkan.