Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Bersekutu Bertambah Mutu: Keselamatan era baharu COVID-19 di Asia

Bersekutu Bertambah Mutu: Keselamatan era baharu COVID-19 di Asia
Perlembagaan Jepun dalam Artikel 18 memberikan kuasa minimal kepada Pentadbiran Kerajaan Pusat di Jepun dalam menyekat pergerakan rakyatnya seperti PKP yang telah diamalkan di Malaysia. - Gambar fail/REUTERS
BERMULA dengan Dasar Pandang ke Timur pada 1982 semasa era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa Malaysia terarah kepada ekonomi Rimau Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan sebagai pemula kepada fasa pemodenan Malaysia.

Syarikat-syarikat seperti Hyundai Engineering, Mitsubishi Motors dan syarikat-syarikat gergasi timur asia membawa pelbagai manfaat dan kemajuan yang awal dan berlipat-kali ganda jika dibandingkan dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang lain. Kecuali Singapura yang dilihat dalam kelasnya tersendiri, Malaysia juga telah dianggap menjadi sebahagian daripada kelab Rimau Asia atau Asian Tigers yang disegani. Retorik pembangunan negara melalui pengiraan keluaran dalam negara kasar (GDP), kian menjadi perdebatan oleh cendikiawan ekonomis dan saintis sosial sejagat bahawa ianya tidak menggambarkan pembangunan sosial dan ekonomi sebenar.
Pemikir tersohor dalam geopolitik yang juga merupakan bekas diplomat Singapura, Ambassador Kishore Mahbubani di dalam bukunya yang baharu, bertajuk “Has China Won? (Sudahkah China Menang?)” memberikan gambaran bahawa rakyat berpendapatan rendah di Amerika Syarikat dalam golongan bawah 50% atau B50 menyaksikan kualiti hidup dan pendapatan yang terburuk sejak the Great Depression era 1930an. Ditambah pula dengan pengangguran yang kian meningkat sehingga 14.7%, juga dapat dilihat bagaimana pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dilihat gagal dalam mengangani wabak Covid-19 dari merebak. Sehinggakan AS tidak dijemput atau enggan hadir ke Mesyuarat Secara Maya pada 4 Mei 2020 yang telah dihoskan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Puan Urusla von der Leyen dan enam negara lain. Mesyuarat tersebut bertujuan untuk mengutip dana sebanyak AS$8.2 bilion (RM35.54B) bagi mencari vaksin baharu untuk memerangi Covid-19.

Hanya negara seperti Kanada, Jepun, Turki dan China yang diwakli oleh Duta Besar China ke Kesatuan Eropah yang telah hadir dan memberikan komitmen mereka. Ianya dilihat sebagai persimpangan di mana kepimpinan dunia AS tidak lagi dipandang dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar yang lain.
Apakah maknanya negara seperti Malaysia yang rata-rata mendapat pujian di kalangan rakyat di Jepun yang mengikuti rapat perkembangan Kerajaan Malaysia dalam menangani COVID-19? Lebih-lebih lagi bagi Malaysia yang pada asalnya mengikuti dan mempelajari ilmu dan budaya Jepun seperti kaizen, ishikawa fishbone, 5S dan pengeksport idea minimalis seperti Marie Kondo? Malaysia dilihat amat sistematik dalam menangani wabak COVID-19 daripada dijangkiti dan menular. Pihak keselamatan seperti Polis dan Tentera dilihat tegas dan ketat dalam mengenakan sekatan dan mobiliti seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Umum mengetahui setelah negara Jepun tewas Perang Dunia Kedua ianya telah dijajah dan diletakkan di bawah pemerintahan tentera bersekutu yang diketuai panglima tentera Amerika Syarikat yang prolifik, Jeneral Douglas MacArthur. Jeneral MacArthur bersama-sama anggota pentadbiran Jepun yang terpilih telah menggubal Perlembagaan Negara Jepun dan diratifikasikan pada 1947. Negara Jepun masih menggunapakai perlembagaan tersebut sehingga ke hari ini.  Jeneral MacArthur terkenal dengan frasa “I shall return (Saya akan kembali)” semasa tewas kepada serangan Tentera Imperial Jepun di Manila, Filipina pada Mac 1942 dan terpaksa berundur secara strategik ke Australia. Beliau telah tersalah taktik dalam apresiasi ketenteraan beliau (military appreciation) akan kekuatan Tentera Jepun pada awal peperangan, namun mempelajari akan kesilapan tersebut.

Umumnya perlembagaan Jepun dalam Artikel 18 menyatakan bahawa:

Hak Keselamatan Orang Perseorangan dan Perlindungan oleh Negara  (The Right to Security of Person and Protection by the State)

“Tidak ada orang perseorangan yang akan dikenakan perikatan (bondage) dalam apa jua bentuk. Sama ada perkhidmatan tanpa kesukarelaan (involuntary), kecuali sebagai hukuman jenayah, perkhidmatan tanpa kesukarelaan adalah dilarang sama sekali”.

Artikel ini jelas memberikan kuasa minimal kepada Pentadbiran Kerajaan Pusat di Jepun dalam menyekat pergerakan rakyatnya seperti PKP yang telah diamalkan di Malaysia. Artikel 18 Perlembagaan Jepun ini bertujuan mengelak daripada kesilapan lama berulang kembali semasa Pemerintahan Tentera Imperial Jepun pada awal abad ke 20, di mana rakyatnya pada ketika itu telah dipaksa menyertai perkhidmatan ketenteraan bagi menghadapi peperangan dengan propaganda dan semangat ala keperwiraan Samurai yang telah dieksploitasi oleh elitis Jepun bagi mencapai objektif mereka. Sehinggalah negara Jepun tewas dan tanah mereka menjadi rata selepas bom atom Enola Gay and Little Boy dilepaskan di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945.

Malaysia harus mendapat pujian kerana menjadi model yang baik dan sempurna dalam menyampaikan komunikasi secara berkala dan harian melalui sidang media, diikuti dengan platform seperti mesej pesanan ringkas (sms) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana penulis masih terima melalui talian nombor Malaysia yang dibawanya ke Niigata, Jepun.

Tidak dinafikan lagi, perkhidmatan kesihatan Malaysia yang bertaraf dunia melalui dasar yang efektif, dan bajet yang kondusif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerjasama pelbagai agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan agensi lain dalam menyediakan pusat kuarantin yang lebih dari norma yang selesa. Kerjasama yang erat agensi di bawah Kerajaan Persekutuan Malaysia yang dilihat memberi re-definisi sebuah negara yang mana negeri-negerinya bersekutu akan bertambah mutu dalam ertikata sebuah negara membangun dan mencapai kemajuan seperti Malaysia.

Mungkin frasa Jeneral MacArthur boleh digunapakai sebagai Malaysia kembali menjadi Asian Tigers – kali ini dalam skrip jalan cerita bagaimana negara seperti Malaysia boleh bangkit dari debu COVID-19 dan mungkin tidak mustahil “Malaysia shall return (Malaysia akan gah kembali)”.



*Afdal Izal Md Hashim merupakan calon Ijazah Kedoktoran di Graduate School of International Relations, International University of Japan, Niigata, Jepun.


**Beliau merupakan penyelidik Sekuriti Asia Pasifik dan Keselamatan Maritim pengkhususan kepada keseimbangan kuasa besar di Rantau Asia Tenggara terutamanya di Laut Cina Selatan

.

***Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: koronavirus, Malaysia, keselamatan, kerajaan, Asia, Donald Trump, Mahathir Mohamad, COVID-19, Kesatuan Eropah, Korea, Singapura, Perdana Menteri, Amerika Syarikat, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.