Bersih 4: Empat perkara anda perlu tahu

Bersih 4: Empat perkara anda perlu tahu
Bersih 4.0 ialah perhimpunan keempat dianjurkan Bersih 2.0 dalam tempoh lapan tahun. -Gambar fail
BACA: Laporan Langsung Bersih 4

1. APA ITU BERSIH DAN APAKAH TUNTUTANNYA?

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 ialah gabungan NGO dan kumpulan masyarakat sivil yang menuntut diadakan pembaharuan dalam pilihan raya di Malaysia.

Ia asalnya dianggotai wakil daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pembangunan Wanita Kolektif (WDC) dan Penulis Media Bebas (WAMI), dan diketuai bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga.

Bersih 2.0 yang merupakan penganjur beberapa siri perhimpunan Bersih kini dipimpin oleh Maria Chin Abdullah dari WDC.

Bersih 4 ialah perhimpunan keempat dianjurkan Bersih 2.0 dalam tempoh lapan tahun.

Perhimpunan pertama diadakan pada 10 Nov 2007; perhimpunan kedua yang dikenali sebagai "Walk for Democracy" pula pada 9 Julai 2011, dan yang ketiga adalah perhimpunan "Sit In" yang diadakan pada 28 April 2012.

Lima tuntutan Bersih 4:
* Pilihan raya bebas dan adil
* Sebuah kerajaan yang telus
* Hak untuk berdemonstrasi
* Mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen
* Menyelamatkan ekonomi negara

2. BILA DAN DI MANA BERSIH 4.0 DIADAKAN?

Bersih 4 dijadual berlangsung dari pukul 2 petang, Sabtu 29 Ogos hingga tengah malam Ahad (30 Ogos) ini.

Ia akan diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.

Di Kuala Lumpur, lima lokasi telah ditetapkan sebagai lokasi berhimpun sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Lokasi itu ialah Sogo KL, Pasar Seni, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Negara.

[IKUTI LAPORAN LANGSUNG] Bersih 4



Tidak seperti di KL, tiada perarakan akan dibuat di Kuching dan Kota Kinabalu. Para peserta hanya akan berhimpun dan meneruskan aktiviti mereka di lokasi masing-masing.

Pada awalnya di Kuching, perhimpunan dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, manakala di Kota Kinabalu di Tanjung Lipat.
 


3. APA KATA PIHAK BERKUASA

KUALA LUMPUR: Salleh ulangi gesaan supaya SKMM pantau laman web

Jumaat (28 Ogos 2015):
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memantau semua laman web yang menyiarkan laporan berita yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau mengulas mengenai notis dalam laman Facebook SKMM pada Khamis berkata bahawa agensi tersebut akan menyekat semua laman web yang menyiarkan dan menyebarkan maklumat yang menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan Bersih 4.

SKMM membuat keputusan itu atas alasan bahawa laporan seumpama itu boleh mengancam kestabilan negara.
 


Tidak boleh berhimpun di Dataran Merdeka dan sekitarnya - Polis

Rabu (26 Ogos, 2015):  Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas untuk tidak membenarkan Perhimpunan Bersih 4 diadakan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah memberitahu, sehingga kini, penganjur Bersih tidak mendapat kebenaran daripada DBKL untuk mengadakan perhimpunan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, perhimpunan itu menyalahi Akta 736 , Akta Perhimpunan Aman 2010, selain Dataran Merdeka pada 26 hingga 31 Ogos digunakan untuk persiapan hari kemerdekaan.
 


Bersih 4.0 perhimpunan haram

Khamis (27 Ogos 2015): Polis telah mengkategorikan Bersih 4 sebagai perhimpunan haram susulan kegagalan pihak penganjur memperoleh kebenaran daripada pemilik premis untuk tujuan menggunakan lokasi berkenaan.

Menurut polis, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bersih 4.0

Menurut Khalid, polis telah mencadangkan kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Gambar Bernama

Polis mencadangkan kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana tempat itu dikatakan lebih sesuai.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan penganjur untuk menggunakan Dataran Merdeka dan Padang Merbok kerana lokasi itu sedang digunakan bagi persiapan sambutan Hari Merdeka.

DBKL telah mencadangkan agar perhimpunan Bersih 4 diadakan pada hujung minggu selepas Hari Merdeka.


KUCHING: Perhimpunan dibenarkan di padang Song Kheng Hai, ikut cara Sarawak - Adenan

Jumaat (28 Ogos 2015): Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri Sarawak memberi lampu hijau kepada penganjur Bersih 4 untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang itu di padang Song Kheng Hai esok.

Sehubungan itu, Adenan menasihati peserta perhimpunan agar mengekalkan cara Sarawak melaksanakan segala urusan dengan lancar dan aman.

Namun, Adenan juga menegaskan bahawa penjawat awam Sarawak tidak dibenarkan sertai perhimpunan tersebut.


Senarai jalan yang ditutup sempena Bersih 4 di Kuching

Jumaat (28 Ogos 2015): Polis Sarawak akan menutup tujuh jalan menuju ke Padang Merdeka sempena 'Op Aman 8 Bersih 4' setelah himpunan Bersih 4 dibenarkan diadakan di Padang Song Kheng Hai.

Penutupan jalan akan bermula pada jam 8 pagi Jumaat, 29 Ogos dan berakhir jam 12.01 tengah malam Ahad, 30 Ogos 2015.

Jalan-jalan yang terlibat ialah:

1. Jalan RTM/lampu isyarat Jalan Satok
2. Jalan Reservoir
3. Jalan Mcdougall
4. Jalan Wayang
5. Jalan Main Baazar
6. Jalan Market/Jalan Power
7. Jalan Masjid


Bersih 4 hanya boleh diadakan jika dapat kebenaran
 
Rabu (19 Ogos 2015): Orang ramai telah dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut di Padang Merdeka.

Ini kerana kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah membatalkan kebenaran menggunakan tempat itu atas alasan terdapat kerja pengubahsuaian sedang dijalankan.

Bagaimanapun, Polis Negeri Sarawak berkata perhimpunan itu hanya boleh diadakan sekiranya penganjur mendapat kebenaran daripada pemilik lokasi dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


KOTA KINABALU

Jangan hadir perhimpunan Bersih 4 esok - KPD Kota Kinabalu

Jumaat (28 Ogos 2015): Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi nasihat supaya tidak menghadiri perhimpunan Bersih 4 yang dijangka diadakan di Taman Awam Teluk Likas, kerana ia menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata perhimpunan berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan, serta memberi kesan negatif kepada keadaan ketenteraman awam, lalulintas dan keselesaan pengunjung taman.

Polis berkata perhimpunan itu tidak boleh diadakan di Tanjung Lipat kerana pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu enggan memberikan kebenaran.


4. APA KATA BERSIH 2.0


Tindakan SKMM sekat laman sesawang bersifat penjajahan - Chin Huat

Kuala Lumpur, Khamis (27 Ogos 2015)
: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu menyekat laman-laman sesawang yang mempromosi, menyebarkan maklumat serta menggalakkan orang ramai untuk turut serta ke Perhimpunan Bersih 4 adalah bersifat kolonial.

Penyelaras Sumber Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat berkata, tindakan SKMM itu dilhat seperti penjajah yang menggugat demokrasi dan ekonomi negara.

"Tindakan SKMM itu juga menunjukkan mesej yang salah kepada keadaan ekonomi negara. Aliran kebebasan maklumat, internet, boleh dikatakan syarat sebuah ekonomi moden untuk beroperasi," jelasnya dalam satu sidang media Bersih 4 di Hotel Crystal Crown.

Jelasnya lagi, Bersih 2.0 mendesak agar SKMM menarik balik segala sekatan yang dilakukan kerana tindakan itu meletakkan ekonomi Malaysia pada risiko yang tinggi.

Beliau turut mengulas kenyatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berpendapat sekiranya demonstrasi itu diteruskan juga, ia akan menggugat lagi keyakinan pelabur.
 



Jangan bawa senjata dan bahan letupan atau lakukan vandalisme - Maria

Kuala Lumpur, Khamis (27 Ogos 2015): Penganjur Bersih 4 menegaskan pesertanya dilarang daripada membawa senjata dan bahan letupan, termasuklah mercun, dan bom asap ke perhimpunan yang akan diadakan selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos nanti.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata gabungan itu juga tidak menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak di bawah umur.

"Sekiranya tidak ada pilihan lain selain membawa anak-anak ke tapak perhimpunan, kami berharap ibu bapa dapat menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak mereka serta bertindak secara bertanggungjawab," katanya.

Maria dalam pada itu mengecam dan melarang sebarang tindakan vandalisme terhadap harta awam, selain menegah para peserta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan atau melayan sebarang provokasi daripada mana-mana pihak.
 


Muktamadkan keputusan lokasi perhimpunan

Kuala Lumpur, Rabu (26 Ogos, 2015): Penganjur Bersih 4 menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memuktamadkan keputusan berhubung lokasi perhimpunan itu selewat-lewatnya pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut penganjurnya, perhimpunan itu akan tetap diadakan walau apa pun keputusannya.

Beliau menegaskan, perhimpunan Bersih 4 tidak akan memasuki Dataran Merdeka, sebaliknya hanya akan diadakan di kawasan sekitar seperti yang dinyatakan sebelum ini.
 


Perhimpunan diteruskan seperti rancangan awal

Kuala Lumpur: Maria Chin berkata Bersih 4 akan diteruskan seperti dirancang walaupun gagal mendapat permit.

Bersih 2.0 juga menolak cadangan DBKL untuk menangguhkan perhimpunan tersebut.

Maria berkata, dari segi keselamatan, Bersih 2.0 telah menyediakan pasukan keselamatannya sendiri iaitu sejumlah 2,000 orang untuk mengawal orang ramai dan lalu lintas.

Bersih 4.0Maria Chin berkata Bersih 4 akan diteruskan seperti dirancang walaupun gagal mendapat permit. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Tambahnya, orang ramai dan peniaga di KL boleh menjalankan aktiviti dan perniagaan mereka seperti biasa.

Tambahnya lagi, peserta perhimpunan perlu datang bersiap sedia dengan makanan dan selimut untuk berkhemah di Dataran Merdeka pada malam sebelum perhimpunan tersebut.

Beliau juga memberi amaran kepada mereka yang ingin membuat kacau agar tidak mengganggu perhimpunan tersebut kerana acara itu diadakan secara aman.


Kota Kinabalu: Penganjur Bersih 4 di Sabah berkata perhimpunan akan tetap diadakan sepertimana dirancang, walaupun masih gagal mendapatkan kebenaran.

Penganjur dilapor akan cuba berunding dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan pihak polis untuk tujuan itu.
 


Kuching: Penganjur Bersih 4 di Sarawak juga bercadang untuk merayu kepada kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Utara Kuching bagi mendapatkan kebenaran mengadakan perhimpunan sepertimana dirancang.