Pemuda UMNO Kedah menggesa jentera parti bergerak terus ke hadapan dan menganggap tiada sebarang ancaman mahupun benda baharu dalam perhimpunan Bersih 5 baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tidak ada sebarang isu atau perubahan selepas perhimpunan Bersih yang diadakan dengan niat menjatuhkan kerajaan dengan cara jalanan dan tidak demokratik.

“Hakikatnya, pentadbiran kerajaan berjalan seperti biasa dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan daripada rakyat.

“Oleh yang demikian kita memohon agar semua peserta perhimpunan Bersih tidak menganggapnya sebagai ‘revolusi rakyat’ seperti yang dicanang pihak tertentu tetapi lebih bersifat ‘perayaan’ untuk parti-parti pembangkang,” katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: LAPOR LANGSUNG Bersih 5 di Kuala Lumpur

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengklasifikasikan perhimpunan Bersih 5 sebagai demonstrasi haram kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang khususnya Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Hakikatnya tegas Shaiful, perhimpunan Bersih tidak langsung mewakili sebilangan rakyat negara ini.

BACA: Bersih 5: Berlangsung aman tanpa drama

“Kita yakin dan percaya, ramai lagi rakyat menolak demokrasi jalanan murahan seumpama perhimpunan Bersih ini.

“Kita juga memohon jentera parti menumpukan perhatian penuh kepada usaha-usaha memberi khidmat kepada rakyat dan pada masa yang sama memenuhi ‘Aku Janji’ yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

FOTO: Bersih 5: Suasana perhimpunan setakat jam 10 pagi

“Kita sentiasa memegang amanat yang disampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sewaktu Konvensyen UMNO Kedah adalah ‘blueprint’ dan ‘garis panduan’ yang jelas untuk jentera parti bergerak ke hadapan,” jelasnya.

FOTO: Bersih 5: Baju Kuning, Baju Merah

Pada Ahad, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak menolak kemungkinan bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad akan dipanggil polis kerana menyertai himpunan Bersih 5.

Katanya, sekiranya penyertaan bekas pemimpin negara itu bersama rakannya menyemarakkan kehadiran peserta Bersih, pihak polis tidak teragak-agak memanggil atau menahannya.