Penganjur perhimpunan Bersih 5 memanipulasi orang awam dengan gerakan politik pembangkang yang menyamar sebagai orang awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya pemimpin pembangkang di belakang Bersih adalah kumpulan yang pernah bermusuhan dan didorong kepentingan peribadi masing-masing.

"Jika betul mereka mahu membela rakyat, mereka tidak akan melanggar undang-undang dan menjejaskan perniagaan dan rakyat yang ingin meneruskan kehidupan harian.

"Adalah menyalahi undang-undang bagi mana-mana pihak untuk cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi melalui demonstrasi jalanan," katanya dalam kenyataan.

Menurut Azalina, mereka perlu menghormati undang-undang dan demokrasi serta menunggu sehingga pilihan raya supaya majoriti rakyat malaysia memilih kerajaan mereka menerusi peti undi.

"Bersih menganjurkan pelbagai perhimpunan sejak 2006 tetapi gagal mencapai perubahan ketara, sama ada dalam politik atau dasar awam.

"Kecenderungan mereka terhadap perhimpunan jalanan berskala besar mencetuskan perhimpunan balas pihak lain sehingga berkemungkinan melanggar undang-undang," katanya lagi.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan melalui model Westminster yang mana parti dengan bilangan terbesar dalam dewan rakyat boleh membentuk kerajaan.

Mana-mana gabungan atau pergerakan, sama ada Bersih atau pihak lain tidak harus menyalahgunakan hak asasi seperti termaktub menerusi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012 melindungi hak untuk berhimpun secara aman, namun ia bukan sesuatu yang mutlak kerana ada batasan perlu dijaga.