Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak seharusnya dipersalahkan kerana menahan pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan beberapa lagi pemimpin pembangkang kerana disyaki terlibat dengan penganjuran demonstrasi Bersih 5.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, PDRM hanya menjalankan tanggungjawab mereka dan mengambil tindakan yang diperlukan demi menjamin keamanan dan keselamatan negara ini.

Menurut beliau, selain mereka yang terlibat dengan Bersih 5, PDRM telah turut menangkap beberapa individu dari kumpulan Baju Merah, termasuk ketuanya Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Justeru beliau memberitahu, tidak timbul isu layanan tidak adil diberikan oleh PDRM terhadap kedua-dua kumpulan tersebut.

"Itu adalah tanggungjawab polis, polis mempunyai tanggungjawab menjamin keselamatan negara. Sistem perundangan memberi hak kepada mereka dan beri kebebasan kepada mereka untuk ambil tindakan yang diperlukan untuk pastikan negara kita aman dan damai.

“Itu keputusan mereka yang mereka rasakan langkah tersebut sesuai bagi menjamin keselamatan. Ini jatuh di bawah bidang kuasa mereka dan saya tidak mahu menyoal, tetapi saya cuma beritahu polis telah menjalankan tanggugjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian sumbangan RM1 juta untuk tabung pembinaan kuil Sri Trisula Mariman di Kuala Kangsar, Perak hari ini.



Ikuti LAPOR LANGSUNG Perhimpunan Bersih 5 di sini