Kementerian Wilayah Persekutuan memberikan fokus kepada proses membersihkan imej Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata semua pihak dalam DBKL akan bekerja keras membaik pulih tadbir urus bagi memastikan segala urusan dijalankan secara profesional.

“Kami mengakui masalah-masalah ini, kami tidak menafikannya. Kami akan menangani masalah ini bersama-sama. Insya-Allah kami mampu menunaikan tanggungjawab kita bersama sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat DBKL di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan mahupun rasuah.

Beliau turut bersedia menerima pandangan daripada semua pihak termasuk DBKL, khususnya melibatkan sistem pentadbiran entiti itu.