Akademi Perubatan Malaysia (AMM) membidas saranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menggesa golongan wanita supaya bersolek seperti hari biasa ke pejabat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai 'memperlekehkan' kedudukan golongan itu.

Dalam satu kenyataan, badan yang terdiri daripada 11 kolej perubatan itu berkata, ketika memerangi wabak pandemik ini, golongan wanita tidak terkecuali dalam memberi sumbangan yang sama penting sebagai 'tembok' hadapan negara.

Katanya, mereka terdiri daripada sama ada kakitangan kesihatan, polis, tentera, pakar, pekerja sektor perkhidmatan kritikal mahupun pemimpin.

"Oleh itu kenyataan KPWKM baru-baru ini sangat mengecewakan kami," kata kenyataan itu di sini pada
Khamis.






Baru-baru ini, KPWKM berkongsi beberapa poster tips termasuk meminta wanita yang bekerja di rumah sepanjang tempoh PKP supaya menjaga penampilan dengan berhias meskipun berada di rumah.

Pendekatan yang dikatakan sebagai kaedah dan amalan untuk mengekalkan hubungan yang positif dalam keluarga dan ketika menjalani fasa bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak, KPWKM memohon maaf dengan perkongsian yang dilihat tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu.

Selain itu, kata kenyataan itu, tips yang dikongsi kononnya bagi kesejahteraan keluarga oleh kementerian terbabit seolah-olah menggambarkan golongan wanita sebagai lemah dan tidak memberi sebarang sumbangan kepada negara.

Akhir sekali, menurut kenyataan itu cadangan kementerian itu yang mengesyorkan wanita supaya mencontohi suara watak kartun Doraemon untuk menggalakkan pasangan mereka membantu dan tidak bertengkar seperti menindas kecerdasan golongan itu.

Sesungguhnya, AMM turut mempersoalkan kerelevanan dan kematangan untuk melihat wanita meniru watak kartun di sebuah negara yang bercita-cita berada di landasan negara maju.

Ekoran itu, badan tersebut meminta KPWKM supaya melihat objektif asal kementerian itu dalam mengangkat golongan wanita dan membuang stereotaip.

"Kami mencadangkan kementerian KPWKM supaya memfokus kepada isu-isu kritikal yang melanda negara termasuk COVID19, masalah penderaan domestik, membantu keluarga miskin dan ibu tunggal yang lebih memerlukan bantuan," ujarnya.