Anggota keluarga seorang daripada mangsa lemas di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh di sini, semalam terpaksa 'berumah' dalam sebuah kereta lebih 12 jam untuk mendapatkan perkembangan terkini kejadian itu.

Muhd Badrul Baharin Syamsul Azhar, 21, anak sulung kepada mangsa yang hilang, Jeleha Hashim, 48, berkata beliau bersama dua adik serta ibu saudaranya berada di atas jambatan berdekatan Pos Kawalan Bomba yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian sejak pukul 9 malam tadi.

Katanya kali terakhir beliau menemui ibunya adalah pada hari Ahad lepas.

"Memang ibu kerap keluar untuk pergi memancing dengan ayah, Ahad lepas adalah kali terakhir saya lihat wajah ibu saya, itu pun cuma nampak sekali imbas kerana dia berada di dalam kereta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, adik kepada mangsa yang dikenali sebagai Yati, 44, berkata mereka akan terus menunggu sehingga mayat kakaknya ditemukan.

Mereka kelihatan tidak berganjak dari kawasan berkenaan walaupun cuaca panas terik.

Sementara itu, Ibrahim Zailan, 45, abang kepada Silawati, 31, berkata beliau tidak menjangka adiknya merupakan antara mangsa dalam kejadian berkenaan.

"Sebelum pergi kerja lewat petang semalam saya lalu ke kawasan kejadian dan tahu ada kes lemas, tetapi tidak menyedari adik saya sendiri merupakan mangsa," katanya.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui adiknya terlibat dengan insiden itu selepas dimaklumkan isterinya kira-kira 8 malam tadi.

"Saya berada di sini dari semalam untuk tahu apa perkembangan buat masa sekarang...saya jarang jumpa dia sebab tinggal agak jauh," katanya sambil mengalirkan air mata.

Ibu kepada dua anak itu dilaporkan memancing di kawasan berkenaan bersama suaminya Mohd Rizal Mat Desa, 31, bagaimanapun suaminya dapat menyelamatkan diri.

Jeleha dan Silawati antara tiga individu yang dilaporkan masih hilang ketika memancing semalam. Seorang lagi yang masih hilang ialah Rapawi Jum'ada, 37.

Semalam, mayat Hashir, 38, seorang warga Indonesia ditemukan kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 9.49 malam manakala mayat Jamaluddin Rapawi, 14, yang lengkap berpakaian ditemukan tersangkut pada pokok pukul 1.26 pagi tadi, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian di Sungai Gasi.

-- BERNAMA